Baca posting terkini. Sila skrol ke bawah.

Imej dicelup dari Harakahdaily.net

Antara Ulama & Profesional Dalam Pas - Analisis (2)

on Sunday, May 24, 2009

Prolog

Ketika memberikan peringatan tentang bahaya golongan munafiq, Allah SWT telah berfirman di dalam al-Qur’an,

“Dan di kalangan manusia, ada yang mengatakan: ‘Kami beriman kepada Allah dan Hari Akhirat’ padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu diri mereka sendiri tanpa mereka sedari. Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah tambahkan penyakitnya itu; dan bagi mereka siksaan yang pedih kerana mereka berdusta”. (Al Baqarah: 8-10)

dengan maksud lafaz maksud supaya umat Islam yang mukmin berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan tipu muslihat manusia durjana tersebut.


Sejarah Sebenarnya Telah Mengajar Kita........

Siri (2) artikel ini akan menganalisis dengan ringkas permulaan kemasukan golongan profesional ke dalam PAS secara berperingkat. Untuk itu, kita mesti menyingkap sejarah gerakan Islam di Malaysia. Seperti yang dijelaskan terdahulu, rangkaian gerakan Islam di Malaysia yang bermula pada awal tahun 70-an mempunyai susunlapis strata sistem perkaderan ahli dan pendokong Islam yang amat menarik; dari peringkat pelajar sekolah/maktab perguruan ke mahasiswa universiti, berkembang menjadi aktif sebagai belia dalam Angkatan Belia Islam (ABIM) dan akhirnya aktif dalam pentas politik nasional dengan memilih PAS sebagai wadah perjuangannya. Ini adalah fakta sejarah yang semua orang tahu. Tak perlu dirahsiakan lagi.

Pada tanggal 27 Mac 1982, senario di atas berubah dan mulai diragui apabila salah seorang penaja utama-pengasas ABIM[1] itu sendiri meninggalkan dunia gerakan Islam dengan melangkah masuk dan memilih UMNO sebagai wadah perjuangan terbarunya dalam politik tanah air. Dengan demikian, susunlapis strata asal gerakan Islam berubah 360 darjah!

Malah ketika itu, dalam keadaan kelam kabut dicampur sedih dan tidak kurang ada yang meluap marah-marah, kita teringat pesan seorang pimpinan gerakan Islam ketika itu bahawa ini adalah asam garam perjuangan Islam - telah berlaku terdahulu dari itu dalam sirah dakwah Islam itu sendiri, kegelincirian dan episod pembelotan ahlinya. Dan ramai di antara kita yang berkata – “Anwar telah menipu kita dan gerakan Islam!”

Itu di antara sejarah hitam dalam gerakan Islam di Malaysia dan ia telah berlalu 27 tahun yang lampau. Masa yang berlalu tidak boleh diambil kembali. Itulah sejarah namanya. Tetapi yang paling penting bagi pendokong dakwah dan “barisan pencinta Islam”[2] ialah kita mesti belajar daripada sejarah. Dan kalau kita teliti ucapan saudara Anwar Ibrahim ketika dan detik beliau mengambil keputusan untuk memilih UMNO, kita akan faham dengan lebih mendalam siapa Anwar Ibrahim sebenar-benarnya:

“Penyertaan saya untuk aktif dalam parti politik UMNO bukanlah satu keputusan yang terburu-buru, malahan ianya telah saya fikirkan dan saya halusi lebih satu tahun.”[3]

Anwar Ibrahim selanjutnya menegaskan bahawa ada beberapa aspek yang telah benar-benar menambat hatinya untuk aktif dalam UMNO, di antaranya ialah,

“kejujuran dan sikap positif Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Musa Hitam, ke atas perjuangan Islam yang benar-benar jitu.“[4]

Lebih dari itu, Anwar menjelaskan bahawa salah satu pertimbangan utamanya untuk memilih UMNO ialah perpaduan di Malaysia dengan mengambilkira Malaysia sebuah negara majmuk.[5]

“Kenapa mengungkap kisah lama? Bukankah Anwar telah kembali ke pangkuan kita?” tegas seorang sahabat karib kita. “Bukankah dalam sejarah Islam, Wahsyi yang membunuh Sayyidina Hamzah akhirnya memeluk Islam? Begitu juga dengan Khalid al-Walid yang menebus dosanya dengan kembali gagah perkasa di medan perang menentang musyrikin. Alhamdulillah, ini sejarah Islam yang boleh kita pelajari dan ambil iktibar daripadanya. Tiada manusia yang tidak pernah berbuat silap, namun ada elemen taubah yang dianjurkan Islam sebagai usaha membimbing manusia kembali ke jalan yang benar”, jawab seorang sahabat byang mempunyai ijazah akademik PhD dari luar negeri. Malah mungkin jutaan orang beranggapan sedemikian. Namun Allah SWT yang telah menurunkan ayat 8-10 daripada surah al-Baqarah lebih mengetahui isi hati makhluk ciptaan-Nya!

Pengajaran Pertama: Jangan berdusta kepada manusia apatah lagi bersaksikan Allah SWT. Amat berat siksaan Allah kepada mereka yang berkata tetapi tidak melaksanakan kata-katanya.


Hubungan Awal Profesional Mengenali PAS

PAS yang wujud sejak tahun 1951 mempunyai sejarah perjuangannya atas landasan yang sangat kuat berdasarkan Islam sendiri dan ini telah dirakamkan dengan jelas melalui pelbagai tulisan antaranya oleh bekas pimpinan PAS terawal[6] serta golongan akademik tempatan dan luar negara.[7] PAS ditubuhkan oleh golongan berpendidikan agama atau para ulamak yang sedar akan tuntutan agamanya.[8] Malahan, sebelum tahun 1951 lagi, perjuangan untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu bermula daripada orang Melayu yang mendapat pendidikan agama dari Timur Tengah jauh lebih awal daripada penubuhan PAS itu sendiri.[9] Walaupun menurut sejarah, Presiden PAS pernah dipangku oleh bukan dari kalangan ulamak, namun pimpinan lain semuanya berpendidikan agama dan berstatus ulamak. Dato‘ Asri Muda yang memegang tampuk kepemimpinan telah menerima undi tidak percaya dalam Muktamar hujung tahun 1982 dan akhirnya berundur lalu kepemimpinan beralih semula kepada golongan ulamak sehingga ke hari ini.

Menerusi konsep kepemimpinan ulamak ini, ramai golongan muda profesional yang muda belia yang terasa ditipu oleh Anwar Ibrahim dan ABIM lalu mengambil langkah drastik untuk mendekati PAS. Pimpinan kampus tempatan dan luar negeri mula didatangi oleh pimpinan PAS yang mengisi program-program tamrin dan rehlah. Tahun 1986, bermulanya golongan profesional masuk ke dalam PAS dan PRU tahun 1990 memperlihatkan kemenangan besar pertama PAS apabila gabungan ulamak dan profesional meraih 27 kerusi peringkat Parlimen. Bukankah gabungan ampuh lagi mantap ulamak dan profesional bagaikan panacea mujarab kepada kemelut politik negara yang semakin tenat?

Maka berbondong-bondonglah golongan profesional muda dari pelbagai bidang mencurahkan tenaga siang dan malam dalam PAS. Ada yang masuk PAS sebab nak balas dendam kepada Anwar yang masuk UMNO. Ada yang sungguh-sungguh bertaubat lalu meninggalkan ABIM dan memegang jawatan utama ABIM Negeri dan Pusat.

17 tahun lamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ayam tambatan UMNO dan terus menjadi musuh politik PAS nombor wahid sehingga peristiwa September 1999 bila mana DSAI ditendang oleh orang yang sama yang jemput dia masuk UMNO. Itu jugalah orangnya yang DSAI pernah akui di depan jutaan penonton RTM sebagai “jujur” dan “mempunyai sikap positif” ke atas perjuangan Islam yang benar-benar jitu”[10], genap 17 tahun yang lalu!

Pengajaran Kedua: Lihatlah, padahnya berdusta. Dan ini baru hukuman di dunia.....

Harus diingat bahawa Anwar tidak masuk UMNO berseorangan kecuali pada awal-awalnya. Kemudiannya beliau diikuti Fuad Hassan, Kamaruddin Mohd Nor, Kamaruddin Jaafar, Saifudin Abdullah, Abdul Malek Awang Kechik, Shukran Jamel Zaini dan sederetan lagi. Anwar tubuh parti politik baru Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pada tahun 1999, menganggotai Barisan Alternatif bersama PAS dan DAP lalu menang besar dalam PRU ke-10. Anwar tidak masuk PAS, sebaliknya berjuang dalam Keadilan. Anwar kemudian menjadi Penasihat Umum PKR. Setelah bebas daripada hukuman penjara dan larangan bertanding dalam politik, Anwar memenangi kerusi Permatang Pauh setelah isterinya meletakkan jawatan dan membuka jalan beliau kembali aktif dalam parlimen.

Berdasarkan analisis ringkas setakat ini, Anwar Ibrahim sebagai mewakili golongan intelek muda, mengambil keputusan untuk tidak memilih PAS sebagai medan politiknya. Anwar pilih UMNO dari 1982 sehingga dipecat (bukan pilih untuk keluar UMNO, dipecat daripda UMNO). Kalau tak dipecat, Anwar kekal dalam UMNO dan bakal dinobatkan sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Selepas dibuang, Anwar menubuhkan PKR daripada terjun ke dalam PAS. Pemerhati politik dan pengikut parti politik membuat pelbagai political reading: “Anwar tidak serasi dengan PAS”, “Anwar merasakan tidak diterima untuk menjadi Presiden PAS jika dia memasuki PAS” dan bermacam lagi. Yang tahu hanya Allah SWT dan Anwar sendiri! Kini Anwar dihantui kes liwat terbaru melibatkan Saiful Bahari, yakni kes yang sama beliau disabitkan lalu dibebaskan sedekad yang lalu tetapi melibatkan partner yang berbeza. Pendakwaan masih belum bermula, entah bila, wallahu a’lam bis-sawab.

Anwar Ibrahim telah menjadi idola belia sekian lama. Keputusannya untuk memasuki UMNO secara aktif telah turut menenggelamkan ABIM sebagai jurubicara ummah. Ramai kader di kalangan mahasiswa, pensyarah dan golongan ‘ulama’ menolak alasan Anwar untuk memasuki UMNO[11] walaupun dikatakan “Syura ABIM ‘melepaskan’ beliau terjun ke kancah politik”. Namun demikian tidak kurang juga pimpinan ABIM yang “terlalu rapat” dengan Anwar turut menyokongnya. Ditinjau secara ilmiah dengan mengambilkira hujjah-hujjah syar’iyy, kemasukan Anwar dalam politik UMNO tidak sama kaedahnya malah amat jauh sekali dengan kaedah yang digunakan bagi Ustaz Fadhil Mohd Noor memasuki PAS. Kemasukan Ustaz Fadzil Noor ke dalam PAS dilihat sebagai berikut:-

(i) Diputuskan oleh Jama’ah (ABIM dan PAS) secara syura dengan hasrat yang sangat baik walaupun ABIM akan “kehilangan” seorang pemimpin bertaraf ‘ulama’ dan berpontensi besar untuk menggantikan Anwar. Lagipun Ustaz Fadzil melangkah masuk mengganggotai PAS, sebuah parti gerakan Islam, bukannya UMNO;

(ii) Untuk menguatkan PAS ketika itu yang dilanda pelbagai masalah dalaman politik. Adalah amat dibimbangkan jika PAS tidak dikuatkan dari dalam, PAS akan hilang kekuatan dan Jamaah Islam akan kehilangan front politik yang diizinkan dalam sistem demokrasi berparlimen;[12] dan

(iii) Meneruskan agenda “Grand Design” dan program jangka panjang Jamaah Islam.

Mengapa kita mengheret nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tajuk yang sama dalam Siri (2) ini walhal kita bercakap mengenai Ulamak dan Profesional? Tidak lain dan tidak bukan, ia pasti ada kaitannya dan kaitannya akan semakin akrab!


Bersambung.....

________________________
[1] Amat menarik diungkapkan di sini, salah satu slogan utama ABIM ialah bersikap “non-partisan” dan “pendiriannya sebagai sebuah gerakan Islam di Malaysia dan rantau ini untuk meneruskan perjuangan, kegiatan-kegiatannya dan progrem-progremnya, tanpa melibatkan diri dalam politik kepartaian dan Insha’ Allah akan terus mempertahankan identiti tersebut.” Lihat kertas kerja terkenal berjudul, “Kenapa Kemasukan Sdr. Anwar Ibrahim ke Dalam Umno Tidak Syarie”, 1982 (Edaran untuk ahli-ahli ABIM sahaja ketika itu).

[2] Salah satu slogan popular Anwar Ibrahim semasa beliau aktif dalam ABIM dulu – kini tak kedengaran lagi dan digantikan dengan “Makkal Sakhti”!

[3] Petikan ucapan ikhlas Anwar Ibrahim kepada pemberita seperti yang tersiar dalam Mingguan Perdana, Ahad 4 April, 1982, hal. 5. Ramai pendokong harakah kemudiannya faham bahawa ABIM dan PAS telah ditipu sekurang-kurangnya setahun lamanya sebelum itu.

[4] Mingguan Perdana, 0p.cit., hal. 5.

[5] Berita RTM jam 10.30 malam, 29 Mac 1982. Kenyataan akhbar Anwar Ibrahim ini diadakan di Jabatan Perdana Menteri.

[6] Sila lihat tulisan mengenai sejarah penubuhan PAS oleh Ustaz Hj. Baharuddin Abdul Latiff dalam karangan beliau berjudul, Islam Memanggil – Rencana-Rencana Sekitar Perjuangan PAS 1951-1987, Gunung Semanggol: Pustaka Abrar, 1994.

[7] Lihat tesis ilmiah Ph.D, Prof. Firdaus Haji Abdullah yang kemudian diterbitkan sebagai Radical Malay Politics: Its Origins and Developments, Petaling Jaya: Pelanduk Publications, 1985. Lihat juga kajian akademik yang klasik karangan Prof. John Funston, Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO and PAS, Petaling Jaya: Heinemann Educational Books, 1980 serta kajian lengkap kebangkitan semula Islam di Malaysia oleh Judith Nagata, The Reflowering of Malaysian Islam, Vancaouver: Univeristy of British Columbia Press, 1984.

[8] Jika kita singkap sejarah penubuhan PAS, adalah jelas bahawa para ulamak yang asalnya duduk dalam Jawatankuasa Hal-Ehwal Agama UMNO ketika itu telah menyuarakan kepentingan untuk berjuang atas landasan Islam, bukannya nasionalisme. Lihatlah bagaimana seorang ulamak telah behujjah, “Para ‘ulama’ tidak bersatu dan pengikutnya terpisah kepada beberapa kumpulan serpihan semata-mata kerana urusan yang remeh-temeh….Pada hakikatnya, keindahan Agama Islam tidak akan terserlah tanpa kesatuan’ulama’nya. Kekuatan Islam tidak dapat diwujudkan tanpa kesatuan itu. Sebenarnya, penyatuan ‘ulama’ akan menjadi wadah untuk mencapai tujuan dan matlamat yang murni. Walaupun semua urusan agama dan pelbagai persoalan kemajuan agama terletak di tangan Duli-Duli Yang Maha Mulia, kemajuan-kemajuan itu tidak akan dapat dicapai seperti yang dikehendaki jika para ‘ulama’ dan pakar Islam tidak bersatu di bawah satu barisan lantaran menasihati Duli-Duli Yang Maha Mulia berkenaan urusan-urusan dan kemajuan agama” (Suara UMNO bertarikh 1 Jun 1951). Seminggu setelah terbitnya tulisan itu, Jawatankuasa Eksekutif UMNO telah menetapkan dalam mesyuaratnya pada 30 Jun 1951 bahawa UMNO akan mengadakan satu “Persidangan ‘Ulama’ Se-Malaya” pada 23 Ogos 1951 bertempat di Sultan Sulaiman Club, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Ustaz Ahmad Fu’ad Hasan ketika itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Hal-Ehwal Agama UMNO. Perlu juga dinyatakan di sini bahawa pada ketika yang sama, sudah kedengaran khabar angin bahawa Dato’ Onn Jaafar, pengasas UMNO akan meninggalkan UMNO kerana perselisihan faham dengan pimpinan UMNO yang lain, hubungannya dengan para Sultan yang semakin buruk dan campurtangan Inggeris yang menganggapnya sangat radikal semangat keMelayuannya. Ustaz Ahmad Fu’ad Hasan disebut-sebut sebagai di antara calon penggantinya berdasarkan hubungan baiknya dengan Dato’ Onn Jaafar dan akan ditentang oleh YM Tunku Abdul Rahman dan C.M Yusuf. Ustaz Ahmad Fu’ad Hasan juga dicadangkan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO menentang Dato’ Abdul Razak Husin dan C.M Yusuf. Bagaimanapun akhirnya Ustaz Ahmad Fu’ad Hasan menolak pencalonan itu kerana ingin menumpukan perhatiannya ke arah mewujudkan ‘Persatuan ‘Ulama’ secara berasingan.

[9] Sila lihat kajian akademik yang cukup mendalam yang telah dilakukan oleh Nabir Haji Abdullah dalam Maahad al-Ihya’ Asy-Syarif Gunong Semanggol: 1934-1959, Kuala Lumpur, 1976. Satu contoh maahad yang amat jelas sumbangannya kepada bermulanya semangat kebangkitan Islam di Tanah Melayu ialah Maahad al-Ihya’ Asy-Syarif Gunong Semaggol di Perak yang ditubuhkan pada tahun 1934. Ia merupakan pusat aktivis Islam yang paling dominan sebelum, semasa dan selepas pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Mengenai penglibatan pelajar-pelajar Maahad Gunong Semanggol dalam arena politik tanah air pada akhir 1930-an, Nabir menjelaskan bahawa ”Penyertaan penuntut-penuntut al-Ihya’ dalam Gerakan Kesatuan Melayu Muda (KMM) bukan setakat menjadi ahli sahaja tetapi beberapa orang daripada mereka telah menjadi pemimpin apabila KMM cabang Gunong Semanggol, atau seluruh Perak Utara, ditubuhkan”. Peranan Maahad ini lebih jelas lagi apabila Majlis Agama Tertinggi atau MATA ditubuhkan pada 14 Mac 1947, iaitu badan rasmi Islam yang pertama di Tanah Melayu. Kemudiannya pada 14 Mac 1948, semasa satu Kongres Rakyat anjuran MATA yang berlangsung di Maahad ini juga parti politik Islam pertama, Hizbul Muslimin (HM) ditubuhkan atas cadangan Allahyarham Dr. Burhanuddin al-Helmy. Skop perjuangan Hizbul Muslimin pada peringkat awal ini berkisar di sekitar nasionalisme Melayu ditambah dengan semangat jihad Islam, menyatukan ummat Melayu-Islam menentang penjajah Inggeris.

[10] Mingguan Perdana, op.cit., hal. 5.

[11] Diantaranya ialah tulisan “Kenapa Kemasukan Anwar Ibrahim ke Dalam UMNO Tidak Syar’iyy” yang ditulis oleh enam pemimpin kana ABIM pada tahun 1982 dan diedarkan secara meluas.

[12] Susunan strategi ini amat berkesan dan berjaya mengendalikan rangkaian Gerakan Islam di Malaysia. Sistem ini diakui benar dan disokong oleh beberapa tokoh Gerakan Islam Dunia yang ditemui. Namun kemasukan Anwar ke dalam Kerajaan telah memusnahkan strategi asal ini.

0 comments:

Post a Comment