Pelajar Profesional dan Ulamak PASKita dituntut oleh Islam supaya membaca sebagai jalan untuk menimba ilmu. Selain itu, berguru secara langsung daripada guru muktabar adalah suatu jalan tertib dan penuh adab yang sangat berkesan untuk menimba ilmu. Dan alam sekitar kita juga adalah Kitabullah yang terbuka. Jika kita rajin membaca dan menelaah, kita akan menemui sebuah kajian yang sangat menarik oleh seorang graduan daripada Fletcher School of Law and Diplomacy[1] yang pernah berkhidmat di ISIS, Kuala Lumpur.[2] Kajian ini telah diperakui oleh beberapa sarjana dan ahli politik sebagai sebuah “kajian mutakhir dan terbaik tentang pergerakan Islam kontemporari, mengutip kata Profesor John L. Esposito, salah seorang sarjana terkemuka dunia masakini yang memperakukan kesahihan kajian berkenaan. Malah Anwar sendiri telah menurunkan kata-kata pujian terhadap kajiannya dengan berkata:
“Buku ini bertujuan memahami satu fenomena penting dalam abad ini bukan sahaja dari sudut pemikiran golongan yang menganjurnya tetapi juga golongan yang terlibat giat dalamnya. Ia ditulis dengan sempurna dan terdidik.”[3]
Nama Anwar selaku pejuang Islam yang turut memberi sumbangan kepada the rising tide of Islam sejak awal 70-an telah terpahat harum mekar ddalam sejarah gerakan Islam di Malaysia. Ini hakikat sejarah yang tak boleh kita nafikan. Namun kita juga terima hakikat bahawa manusia boleh berubah. Jika kita toleh ke sejarah penghantaran pelajar-pelajar cemerlang Malaysia ke luar negara oleh pihak JPA pada awal tahun 70-an, seiring dengan kebangkitan mahasiswa di dalam negara, pelajar kita di luar negara turut memainkan peranan yang cukup hebat dalam aspek dakwah, malah lebih hebat daripada dalam negara. Ketika mana persatuan dalam univeristi, PKPIM dan ABIM bergerak aktif mengumpul pelajar dalam jaringan dakwahnya, begitu jugalah para pelajar kita di luar negara bergerak aktif dalam gerakan dakwah.
Sebenarnya keaktifan pelajar tajaan JPA ke luar negara awal 70-an itu sebenarnya bermula dari Malaysia sendiri, terutamanya para pelajar yang menuntut di Institut Teknologi Kebangsaan (ITK), (kini telah dinaiktaraf menjadi Universiti Teknologi Malaysia – UTM). Para pelajar mendapat pendedahan yang amat meluas oleh Pak Imadudin Abdul Rahim, seorang pensyarah kejuruteraan pinjaman daripada Institut Teknologi Bandung. Pak Imaduddin adalah seorang jurutera bertauliah, pendakwah Islam yang komited dan pemidato yang sangat hebat lagi lagi mampu membina kader dakwah yang ramai.
Harus diingat ketika ini arus kesedaran dan kebangkitan Islam telah bermula di kalangan pelajar dan belia. Pada ketika itu, sudah ada PAS, ABIM serta PKPIM dan gandingan kedua-duanya amat mantap ketika itu. Namun yang menjadi sedikit kelainan ialah sikap Imaduddin yang tidak mahu menerima PKPIM, ABIM mahupun PAS. Beliau mempunyai fikrah yang berlainan. Dalam kata-kata bekas seorang pimpinan ABIM,
“Dia (Imaduddin) menuntut supaya kami menerima Islam seluruhnya. Dari segi prinsip, ia memang betul. Tetapi Islam juga mengakui kelemahan manusia dan tahap tanggungjawab mereka yang berbeza-beza. Ada orang sanggup mati untuk Islam, ada pula yang tidak sanggup dan ini tidaklah menjadikan mereka murtad. Tetapi bagi Imaduddin, jika seseorang itu tidak sanggup mengorbankan nyawa, maka dia terkeluar daripada islam. Kami tidak setuju dengan tafsiran perjuangan untuk Islam yang begitu ketat.”[4]
Apabila kerajaan memulakan polisi menghantar pelajar ke luar negara, maka para pelajar ITK itu tadi turut terlibat mendapat tempat di beberapa universiti di United Kingdom khususunya di Brighton dan Glasgow sebelum berkembang biak ke kawasan lain. Pak Imaduddin telah berjaya mengumpul para pelajar corenya itu dan mereka menyambung pengajian di UK dan terus aktif dengan kegiatan dakwah yang lebih mendalam apabila bertemu dengan pensyarah-pensyarah yang sehaluan fikrah dengan Imaduddin. Mereka ini pula terdedah dengan Jamaatul Islami Pakistan pimpinan Maududi dan juga al-Ikhwanul-Muslimin dari Mesir dan lain-lainnya. Pertembungan para pelajar di UK yang mendapat pelbagai pendedahan, (i) ABIM-PAS (ii) Ikhwan-Jamaatul Islami dan (iii) Jamaat Tabligh telah memulakan perpecahan di kalangan pelajar Malaysia di UK.[5]
Disebabkan kekecohan itu, beberapa seniors telah berusaha menyantumkan kumpulan-kumpulan tersebut di bawah satu wadah yang dikenali sebagai Islamic Representative Council (IRC). Tepat dengan namanya, IRC bertujuan untuk menjemput wakil-wakil daripada kumpulan tadi dan juga mereka yang mirip kepada Islam tetapi tidak menyertai mana-mana kumpulan untuk bersama-sama dalam satu mjalis yang akan berusaha menyatupadukan semula pelajar-pelajar islam. Maka wujudlah usrah-usrah yang dianggotai oleh wakil-wakil tersebut.[6] Malangnya usaha-usaha murni itu tidak kesampaian – yang tabligh kekal dengan aktiviti bayan dan keluar 40 harinya; yang nasionalis kukuh dengan asabiahnya lalu membentuk kumpulannya; yang pro-ABIM dengan pimpinannya. Bakinya merubah corak IRC menjadi sebuah jamaah yang memiliki Amirnya yang tersendiri tetapi dirahsiakan. Kerahsiaannya ini adalah mainstream dan modus operandi IRC. Yang dikempen secara terbuka hanyalah rehlah dan mukhayyam musim panas dan dingin bermula sekitar 1975/1976.[7]
IRC menghadapi perpecahan sekali lagi awal tahun 1975 apabila beberapa pimpinan utamanya keluar dan mengisytiharkan penubuhan Suara Al-Islam yang mengambil pendekatan yang lebih radikal dan revolusioner.[8] Salah seorang pimpinan utamanya kini menjadi AJK Pusat PAS. IRC ingin mengekalkan program tarbiyyah yang sentiasa diwar-warkan sebagai ingredient utama kepada perjuangannya. Tahun 1976/1977 memperlihatkan kalangan seniors IRC pulang ke tanah air. Apa yang memeranjatkan ABIM dan PAS ialah mereka bukan sahaja tidak menyertai plarform dakwah sedia ada, malah mengkritik ABIM dan PAS secara dalaman dan terbuka. Mereka kekal dalam konsep IRC yang kini telah berkembang di Malaysia. Dalam hal ini, kita dapat fikirkan, bagaimana mereka yang telah mendapat pendedahan Islam dan jamaah di UK oleh pimpinan Jamaat Islami dan Ikhwan sepertimana yang mereka declare, telah memlanggar prinsip asas jamaah itu sendiri dengan menubuhkan jamaah lain di Malaysia. Maka kedengaranlah beberapa ungkapan daripada pimpinan mereka kononnya “mereka belum bersedia untuk menerjunkan diri ke dalam ABIM atau PAS,” “belum mendapat green light daripada pimpiannan utama yang masih berada di UK,” malah ada yang kata, “belum diendorse oleh pimpinan Ikhwan!” Inilah menariknya kalangan IRC – pimpinan dirahsiakan, kenyataan dikeluarkan dengan menggunakan nama-nama besar dalam dakwah sebagai kalangan yang mentarbiyyah dan membimbing mereka.[9]
Tahun 1982 membawa perubahan sekali lagi apabila Anwar memasuki UMNO. Kalangan IRC berbelah bagi – masuk PAS atau kekal dalam IRC? Nak masuk ABIM tiada gunanya lagi menurut mereka. PAS mengisytiharkan kepemimpinan Ulamak dan barisan kepimpinannya terbentang luas. Kalangan IRC mula terfikir - apakah pimpinan sebenar IRC juga seorang ulamak yang muktabar yang dikenali ramai dan jelas ilmu agamanya atau hanya jurutera profesional?[10]
Dalam kegawatan dan pertembungan fikrah itu, pimpinan tertinggi IRC telah berkumpul lalu mengemukakan gagasan Harakah Islamiyyah Syumuliah (HIS) yang dimuatkan secara detail dan bersiri sebagai jalan keluar kemelut yang sedang mereka hadapi. Ini adalah satu grand design dan masterpiece dakwah yang amat terperinci dan meyakinkan. Dalam rangka kerja HIS, PAS, ABIM dan beberapa persatuan pelajar, belia, organisasi umum, NGO akan menjadi wajihah (front organization) dengan IRC di belakangnya sebagai nuklius.[11] Dalam konteks HIS inilah, IRC menghantar beberapa ustaz dan “murabbi” profesional mereka untuk duduk dalam Lajnah Tarbiyyah PAS Pusat, merangka Skema Tarbiyyah PAS Pusat, Negeri dan untuk para pelajar. Setelah beberapa tahun berlaku, ustaz dan pimpinan IRC tersebut keluar daripada PAS setelah aktiviti sebenar mereka terbongkar.[12] Mereka bukan mentarbiyyah ahli PAS sebenarnya tetapi lebih bersikap “memanding ikan di kolam orang” . Bak kata seorang pimpinan tertinggi PAS yang ketika itu duduk dalam Dewan Ulamak PAS Pusat, “jika benar nak memancing ikan, pancinglah ikan segar di sungai atau laut terbuka, jangan pancing ikan orang yang telah orang lain masukkan ke dalam kolam ikan!”
Strategi IRC terbongkar dan ekoran itu ramai kalangan meninggalkannya dan menyokong PAS. Hard core yang tinggal itu, berkumpul kembali memikirkan jalan keluar lagi untuk bergiat aktif dalam dakwah di Malaysia. Masih menolak ABIM dan PAS, pimpinan IRC akhirnya berkumpul tenaga dan menyiapkan sebuah kertas kerja barunya, berjudul “Pembentangan Usul Pendekatan Terhadap UMNO” bertarikh Rabu, 28 Februari 1990.[13] Keputusan Usul tersebut dirakamkan sebagai berikut:
“Majlis Syura Jama’ah dengan penuh tanggungjawab bersetuju:
1. Membolehkan ahli melibatkan diri dalam UMNO dengan pendekatan yang ditentukan oleh Jama’ah sebagai salah satu langkah penglibatan politik kepartaian dalam strategi dakwah yang bersepadu.
2. Menubuhkan Jawatankuasa Khas MSJ yang diberi kuasa meluluskan dan mengawasi tindakan-tindakan yang berkaitan dengan keputusan ini.”[14]
Sekali lagi IRC bergolak. Ada yang tak setuju dengan keputusan pimpinan lalu berpecah dan menubuhkan Jemaah Islah Malaysia atau JIM pada hari Jumaat, 27 Julai 1990. Setakat artikel ini ditulis mengikut urutannya, sudah berapa kali IRC berpecah? Ditubuhkan di UK, berpecah di UK. Kembali kekal dalam IRC di Malaysia dan berpecah lagi di Malaysia. Perhatikan bagaimana hard core IRC sentiasa kekal mencari jalan keluar setiap kali berhadapan dengan kemelut dan persimpangan. Pengerusi Jawatankuasa Penaja JIM yang kemudiannya menjadi Presiden JIM pertama hingga 1999 ialah Abu Urwah atau Hj Saari Sungip.[15] Nama beliau turut dinyatakan dalam kertas Usul UMNO itu sebagai di antara pimpinan MSJ yang berjumpa dengan pimpinan gerakan Islam dunia untuk mendapatkan nasihat apakah boleh Jama’ah mengarahkan ahlinya memasuki UMNO.[16]
Bersambung.....
________________________
[1] Sebuah institut pemikiran terkenal di luar negara yang mengkhusus dalam bidang politik perbandingan, perhubungan antarabangsa dan diplomasi yang diletakkan di bawah Tufts University.
[2] Zainah Anwar telah membuat kajian yang mendalam terhadap pergerakan Islam dan pelajar Malaysia lalu membukukan hasil kajiannya dalam Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: IBS Buku Sdn. Bhd., 1990
[3] Cebisan pujian tersebut diungkapkan di kulit belakang buku tersebut. Ketika itu Anwar adalah Menteri Pendidikan Malaysia dan masih dalam UMNO.
[4] Kamaruddin Mohd. Nor, sebagaimana tercatat dalam Zainah Anwar, Kebangkitan Islam di Kalangan Pelajar, Kuala Lumpur: IBS Buku Sdn. Bhd., 1990, hal. 47.
[5] Ayah Hasan Firdaus, Gerakan Islam – Satu Sejarah dan Pengalaman, Bandar Baru Bangi: Madrasah Muttaqin, 1989, hal. 5. Buku kecil ini adalah satu documented evidence oleh seorang bekas pelajar yang mendapat pendedahan langsung dalam kumpulan IRC tersebut di UK. Setelah memahami grand design IRC terutama konsep Harakiah Islamiyyah Syumuliah (HIS), beliau lebih yakin dengan PAS. Buku itu merakamkan dengan jelas sejarah penubuhan IRC serta kaedah gerakannya. Modus operandi IRC ini juga telah dijelaskan secara terperinci dalam kajian Zainah Anwar malah Zainah, dengan segala kesukaran yang dihadapinya ketika itu, telah berjaya mendapatkan maklumat dalaman daripada penggiat IRC itu sendirinya, di antaranya ialah seorang jurutera muda yang kemudiannya berpecah daripada mainstream IRC dan menubuhkan Suara Islam. Tokoh ini kemudiannya berusaha untuk menubuhkan Parti Negara Islam (PNI) di Malaysia, gagal dalam usahanya dan akhirnya memasuki PAS. Beliau kini seorang AJK Pusat Pas dan aktif di Shah Alam. Semua yang mengetahui gerakan Islam secara dekat amat mengenali watak ini. Beliau dikatakan di antara “Erdogan” yang paling ke hadapan mempromosikan Husam Musa sebagai pimpinan PAS paling tepat untuk menggantikan Tuan Guru Abdil Hadi Awang, jika berjaya mengalahkan Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Jun depan. Lihat temuduga langsung Zainah Anwar dengan beliau (tetapi Zainah memberikan nama samaran beliau sebagai “Ishak Ali” demi melindungi identiti sebenarnya) dalam Zainah Anwar, op. cit., hal. 59 -61.
[6] Ayah Hasan Firdaus, op. cit., hal. 6.
[7] IRC kemudiannya bertukar dengan nama Majlis Syura Muslimun tetapi kekal dengan identiti yang asal dan modus operandi yang sama di seluruh UK, Australia dan US. Fikrah IRC ini juga tersebar meluas di kalangan pelajar agama di Timur Tengah, bermula dari Mesir, ke Syria dan Jordan.
[8] Suara Islam adalah kumpulan serpihan IRC yang amat intim dan mendapat pengaruh daripada seorang tokoh pimpinan Jamaat Islami bernama Javed Ansari. Ahli-ahli Suara Islam bekerja keras membuat persiapan untuk menubuhkan “Parti Revolusi Islam” di Malaysia sekembalinya mereka ke tanah air. Dalam kata-kata “Ishak Ali”, “kami percaya revolusi Islam perlu dipimpin oleh sebuah parti politik”. Lihat Zainah Anwar, op. cit., hal. 59.
[9] Di antara nama-nama besar dalam dakwah yang disebut-sebut memberikan sokongan kepada mereka untuk tidak menganggotai ABIM atau PAS dan sebagainya sebaliknya kekal dalam IRC ialah Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur, Fathi Yakan, Abu Badr, Tariq Suwaidan, Abdul Rahman Khalifah, Dr. Azam Tamimi dan lainnya. Malangnya apabila pimpinan PAS Pusat menemui mereka di Timur Tengah dan di UK, mereka menafikan mereka berkata demikian. Malah Ustaz Mustafa Masyhur pernah menulis sendiri di atas kertas meminta kalangan IRC menganggotai ABIM dan PAS di Malaysia untuk memberikan kekuatan kepada dakwah dan gerakan Islam kepada seorang pemimpin IRC untuk dibawa kepada pimpinan ABIM dan PAS. Ia tidak ditunjukkan (bukankah ini mengingkari arahan pimpinan Ikhwan yang mereka sanjungi?) . Namun Allah SWT Maha Kuasa. Dia Amat Mengetahui hati makhluk ciptaan-Nya. Dalam pertemuan langsung pimpinan PAS dengan Ustaz Mustafa beberapa tahun kemudiannya perkara itu terbongkar daripada mulut Ustaz Mustafa sendiri......Pengajaran Ketiga: Allah akan tunjukkan kebenaran dan membuka ‘aib mereka yang berdusta. Jangan berdusta kerana Allah murka kepada orang yang berdusta.
[10] Faktor ini amat penting kerana jika selama ini Anwar seorang profesional bukan dari kalangan ulamak bergiat aktif dalam dakwah ABIM dan rapat hubungannya dengan PAS boleh belot dan memasuki UMNO; jika PAS yang telah jelas barisan kepimpinan ulamaknya yang terdididik di Timur Tengah dan ramai yang mendapat pendedahan gerakan Islam di sana; persoalan timbul, siapakah pimpinan sebenar IRC? Dalam keadaan kelam kabut inilah beberapa ustaz yang rapat mentarbiyyah pimpinan dan pelapis IRC seperti ustaz Alias Othman, Ustaz Zawawi Ali, Ustaz Darus Senawi, Ustaz Abdul Kamil Majid dan sebagainya, ditonjolkan. Namun mereka yang bergerak aktif dalam IRC amat memahami bahawa yang berada dalam pimpinan sebenar adalah Abang Abdullah, Mustafa Abdul Kadir, Saari Sungip (Abu Urwah), Ahmad, Zaid Kamaruddin, Dr. Hatt Shahrom, Dr. Dzulkifly Ahmad, Ariffin Ismail dan beberapa rentetan nama lagi. Mengikut sesetengah pimpinan IRC, Prof. Abang Abdullah adalah di antara Amir pertama IRC di UK. Beliau mendapat pendedahan langsung daripada Pak Imaduddin semasa di ITK dan melanjutkan pengajiannya di UK.
[11] Lihat grand design tersebut di bawah tajuk “Ke Arah Penghayatan ‘Amal Jama’i” dan juga “Ciri-Ciri Serta Rukun Harakah Islamiah” terbitan IRC sekitar tahun 1982 yang jelas menunjukkan “Harakah” (maksudnya IRC) akan menjadi Tanzim Rahsia yang bergerak sebagai nuklius mencorakkan wajihah tersebut. Ia adalah sebahagian daripada security plan yang melindungi harakah.
[12] Tak perlulah kita sebutkan di sini siapa tetapi mereka yang bergerak aktif dalam PAS amat mengenali mereka. Memadai kita sebutkan bahawa Tuan Guru Presiden, Dato’ Haron Taib dan Dato’ Mustafa Ali juga amat mengenali siapakah mereka.
[13] Seperti biasa dalam keadaan berahsia, kertas kerja ini dinyatakan disediakan oleh “Majlis Syura Jamaah” yang sebenarnya adalah terjemahan yang hampir dengan Islamic Representative Council (IRC) yang dahulunya dikenali dalam bahasa Melayu sebagai “Majlis Syura Muslimun”.
[14] Lihat kertas kerja penting IRC berjudul “Pembentangan Usul Pendekatan Terhadap UMNO” bertarikh Rabu, 28 Februari 1990.
[15] Beliau kini adalah seorang ADUN PAS di Selangor.
[16] Di antara pimpinan MSJ yang membuat pertemuan-pertemuan dengan pimpinan gerakan Islam sedunia yang tercatat dalam kertas Usul itu ialah Ustaz Alias Othman, Ahmad dan Saari Sungip mengikut urutan berikut; 1 Disember 1989 – Saari menemui Abu Amr; Ustaz Alias dan Ahmad menemui Tariq Suwaidan di USA pada Disember 1989 di mana Tariq menjelaskan persidangan ulamak di MAYA Conference bersetuju ahli gerakan Islam bekerjasama dengan parti kerajaan dengan mengambil contoh kisah Nabi Yusuf; Ustaz Alias dan Ahmad menemui Rashid Ganoushi di MAYA Conference Disember 1989; Saari menemui Nadir al-Nouri pada 30 Disember 1989; 1 Januari 1990, Saari menemui Syaikh Abdul Rahman Khalifah, Saari menemui Syaikh Mustafa Masyhur pada 3 Januari 1990; dan akhirnya Saari menemui Abu Badr di Nurnberg pada 19 Januari 1990. Dalam pertemuan ini, IRC digesa membantu Anwar dalam UMNO!