Baca posting terkini. Sila skrol ke bawah.

Imej dicelup dari Harakahdaily.net

Antara Ulama & Profesional Dalam Pas - Analisis (1)

on Wednesday, May 20, 2009


Prolog


Ketika menandakan kewajiban berdakwah dalam Islam, Allah SWT telah berfirman di dalam al-Qur’an,

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai....” (Ali ‘Imran: 103)

dengan maksud lafaz maksud supaya umat Islam bersatu di atas Nama Allah dan pertelingkahan sesama sendiri menjadi punca utama kejatuhan Islam yang Allah tahu akan berlaku di kalangan ummat-Nya.



Pendahuluan


Artikel ini ditulis dengan nota kaki dan rujukan yang bertanggungjawab, dibentangkan untuk semua pendokong gerakan Islam, terutamanya pendokong Parti Islam Se Malaysia (PAS) dengan maksud supaya:

(i) Pendokong dan penggerak PAS dapat menyingkap kembali perjuangannya;

(ii) Pemuda PAS selaku barisan pelapis memahami sejarah PAS sehingga kini;


(iii) Gabungan Ulamak dan Profesional dimantapkan dalam konteks “Kepemimpinan Ulamak” yang didokong oleh PAS sejak tahun 1982 hingga kini; dan

(iv) Pimpinan PAS mengambil sikap tegas menyusun semula saff pelapis dan kepemimpinannya bagi menghadapi suasana politik baru Malaysia yang semakin mencabar.



Latar Belakang

Sejarah PAS telah dilakarkan dengan cukup lengkap menerusi pelbagai tulisan dan analisis, bukan sahaja oleh kalangan pimpinan dan pendokongnya,[1] malah oleh sarjana akademik tempatan[2] dan luar negara[3] dengan meluas. Kita tidak berminat untuk merungkainya semula. Saudara pendokong gerakan Islam boleh mendapatkannya melalui senarai tulisan dalam nota kaki artikel ini.

Apa yang lebih difokuskan ialah trend mutakhir di kalangan pendokong dan pimpinan PAS dari kalangan yang dikatakan sebagai golongan profesional atau sering dilabelkan sebagai kumpulan “Erdogan” versus golongan ulamak yang mendapat pendidikan formal dalam bidang agama Islam sama ada di dalam atau luar negara. Golongan profesional yang dikatakan dipelopori oleh Naib Presiden masa kini, YB Dato’ Husam Musa dikaitkan dengan istilah “anti-muqabalah”, “pro Anwar ibrahim”[4] dan sebagainya yang “kononnya” mendapat restu Tuan Guru Mursyidul ‘Am dan golongan ulamak yang dipimpin oleh YB Tuan Guru Dato’ Abdul Hadi Awang yang dikaitkan dengan “pro-muqabalah” yang disebut-sebut dipelopori oleh Timbalannya, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa.[5]

Kita tidak berminat untuk mengulas tulisan-tulisan nakal dalam pelbagai blog seperti “Penarik Beca” dan seumpamanya yang menulis tanpa adab dan menggunakan bahasa kesat lagi biadab[6] terhadap sesiapa yang menjadi sasarannya. Cukuplah dikatakan bahawa saudara “Bakaq Haq”” amat kita kenali sejarahnya, dari zaman mudanya sehinggalah beliau menjadi penulis blog yang mengikut sesetengah penganalisa politik dalaman PAS, dikatakan mendapat sokongan kalangan “Erdogan” and is said to be well paid to do all the dirty works on behalf of somebody![7]

Yang ingin kita elakkan ialah perpecahan di dalam PAS di antara golongan ulamak dan profesional menjelang Muktamar bulan Jun 2009 ini. Yang amat kita takutkan ialah pembawaan unsur dari sesetengah kalangan pimpinan PAS sendiri[8] yang tidak bersetuju dengan pimpinan utama lantas membuat kerja-kerja untuk menjatuhkan pimpinan sedia ada dengan pelbagai usaha seperti:-

(i) Melaga-lagakan Tuan Guru Mursyidul ‘Am dengan Tuan Guru Presiden;[9]

(ii) Membawa hasil perbincangan dalaman mesyuarat pelbagai peringkat ke luar mesyuarat;


(iii) Lebih mendengar “arahan atau nasihat” pihak di luar parti PAS daripada meletakkan thiqah dan ta’ah kepada pimpinan sedia ada;

(iv) Duduk dalam pimpinan PAS tetapi pada masa yang sama menganggotai “jamaah lain”.



Gabungan Tenaga Ulamak Dan Profesional

Kepemimpinan Ulamak bermula di Muktamar tahun 1983 di DBP. Setelah Allahyarham Datuk Asri Muda berjaya dijatuhkan, PAS secara rasmi mengisytiharkan konsep kepemimpinan ulamak. Ia bertahan sehingga kini dan PRU-12, tahun 2008 memperlihatkan kecemerlangan PAS dalam lanskap politik tanah air. Pilihanraya 1990 adalah permulaan masuknya golongan profesional dalam PAS secara full time, sehingga membuahkan hasil 27 MP Pas di Parlimen. Dr. Syed Azman, Dr. Hassan Ali, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, Husam Musa, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar, Kamaruddin Jaafar, Dr Lo’ Lo’ , Dr. Mariah Mahmud dan sederet nama yang lain memberikan gandingan mantap kepada kepemimpinan ulamak, sama-sama meredah persada politik tanah air sehinggakan mencatat sejarah negara dan PAS di mana Allahyarham Dato’ Fadzil Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menyingkap kemenangan besar tersebut, ia adalah usaha gigih para ulamak PAS untuk menerima barisan pemuda profesional untuk bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket PAS. Tidak dapat dinafikan bahawa Allahyarham Ustaz Fadzil Noor seorang mastermind politik PAS yang jauh pandangannya, mampu melihat projection musuh politiknya. Beliau jugalah faktor penarik golongan profesional untuk berjinak-jinak dengan PAS. Tidak dapat dinafikan juga, hubungan golongan profesional dengan pimpinan PAS telah dipupuk sejak akhir 70-an lagi. Ketika itu gerakan Islam di Malaysia disusun rapi di mana para pelajar bergabung mengikut strata lapisan perkaderan dan kepemimpinan berikut – (1) Peringkat asas; pergerakan pelajar menyaksikan gerakan Islam bergerak secara tanzim yang pelbagai melalui persatuan di kampus-kampus universiti[10] (2) Peringkat kedua; bergerak di bawah naungan Persaatuan Pelajar Negeri[11] dan akhirnya persatuan induk di bawah PKPIM (3) Peringkat ketiga; bergerak di bawah ABIM Negeri dan Pusat dan akhirnya (4) Peringkat keempat; melibatkan diri secara langsung dan aktif dalam medan politik bersama PAS. Ustaz Fadhil sendiri adalah Timbalan Presiden ABIM yang kemudiannya dilepaskan, dengan persetujuan syuar dan kepimpinan PAS ketika itu, untuk membantu sahabat-sahabat lain dalam PAS.[12]

Kita berpandangan gabungan tenaga para ulamak dan profesional di bawah bimbingan Majlis Syura Pusat adalah adunan paling mujarab dan gandingan paling mantap untuk menongkah arus politik negara dalam konteks PAS. Ia terbukti pada PRU tahun 1990 sehingga kini. Jangan kita dilekakan dengan slogan “anti ulamak” atau “pro intelektual/profesional” yang kuat berkumandang kini. Ia diperhebatkan lagi oleh media arus perdana.



Benarkah Berlaku Pertembungan Dua Golongan – Ulamak dan Profesional?

Inilah persoalan besar yang berlaku kini. Benarkah begitu? Mari kita buat analisis mudah. Rata-rata kita dengar sungutan seperti berikut.....

“Golongan ulamak gagal mentadbir negara, kurang ilmu pengurusan semasa dan tak pandai menyelami hasrat rakyat di peringkat akar umbi khususnya kaum bukan Islam. Malaysia masyarakat majmuk; profesioanal lebih berkesan.”

“Golongan profesional mendapat tarbiyyah daripada pimpinan harakah Islamiyyah luar negara khususnya Ikhwanul Muslimin ketika belajar di luar negara, ada yang mampu berbahasa Arab, ada yang mampu mentafsir dan mengupas hadith serta sirah malah dilihat lebih baik daripada ulamak PAS yang tidak mendapat pendedahan harakiyy daripada pimpinan ‘alami.”

“Golongan ulamak tidak boleh “think outside the box”, gagal membuat “political reading” dengan baik, amat bergantung pada kerja-kerja asas yang dilakukan oleh golongan profesional terutamanya untuk kerja-kerja Parlimen seperti menjawab soalan Dewan, dsb. Ringkasnya ulamak tidak mampu mentadbir negara.”

Jawapan mudah kita ialah, jika benar ulamak lemah seperti yang dikatakan itu, bukankah menjadi tugas dan kewajipan golongan profesional untuk mendokong dan membantu para ulamak di mana yang perlu? Bukah itukah gandingan tenaga ulamak dan profesional namanya? Kenapa ulamak diperlekehkan sebegitu rupa? Apakah kalangan profesional merasakan mereka sudah cukup ilmunya dan sudah bersedia untuk membuat all out performance dalam rangka grand designnya untuk menjatuhkan kalangan ulamak dalam pemilihan di muktamar akan datang? Apakah mereka rasakan melalui sistem demokrasi (undian terbuka) dan perlembagaan PAS sedia ada, dapat mereka memanipulasikan keadaan dengan cara melobi sana sini, membuat panggilan telefon ke sana sini untuk merasmikan mesyuarat PAS Kawasan dengan maksud kempen dan sebagainya? Ini bukan UMNO, minta maaf; ini gelanggang PAS! Dalam konteks ini, barangkali ada benarnya teguran keras Ustaz Nik Abduh Nik Aziz, anak Tuan Guru Mursyidul ‘Am dalam blog terkenalnya, Masanya Memilih Jalan Yang Lurus[13] apabila melabelkan golong profesional sebegini sebagai mereka yang ibarat mendapat ilmu secara “mi celup”!

Dalam membentangkan pertembungan golongan ulamak dengan profesional ini, kita mestilah tepat dan kritikal kerana bukan semua golongan profesional yang bergerak dalam PAS digolongkan sebagai anti ulamak. Golongan profesional yang mempersoalkan pimpinan ulamak ialah profesional yang melakukan perkara-perkara berikut:-

(i) Profesional yang duduk dalam barisan kepemimpinan PAS tetapi
mengkritik keputusan kepimpinan PAS dalam mesyuarat bukan dengan maksud membina tetapi merendahk-rendahkan kepimpinan dan membawa
perasaan tak puas hati itu ke luar mesyuarat;[14]

(ii) Membawa apa-apa keputusan rahsia mesyuarat kepada pihak di luar mesyuarat terutamanya rakan sekutu daripada parti politik lainnya disebabkan tidak berpuas hati dengan kepimpinan;[15]

(iii) Tidak menerima keputusan dan arahan kepimpinan PAS. Sebarang keputusan yang dicapai, mereka cuma ambil sebahagian yang serasi dengan pemikiran mereka dan menolak sebahagian yang lain. Contoh yang jelas ialah keputusan penuh Majlis Syura PAS Pusat mengenai muzakarah dengan UMNO, iaitu "Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 23 April, 2008 mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia" dan juga keputusan Muktamar PAS Tahun 2008 di Perak untuk


“memperkasakan pakatan rakyat dan membuka pintu perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk UMNO”.


Mengapa terjadi demikian? Inilah persoalan tarbiyyah. Ini persoalan adab dan akhlak berjamaah. Ini persoalan thiqah dan wala’ kepada pimpinan. Jelasnya golongan “Erdogan” menolak kepimpian ulamak sedia ada dan ingin menggantikannya dengan “Kepimpinan Islam” untuk merangkumi mereka yang profesional dan menyamatarafkan mereka dengan golongan ulamak. Kepimpinan Ulamak PAS semasa tiada masalah dengan golongan profesional. Yang ada masalah ialah golongan Erdogan profesional yang membuat perancangan untuk menjatuhkan pemimpin dari kalangan ulamak dan digantikan dengan profesional. Golongan Erdogan ini juga mendapat sokongan beberapa nama besar dari kalangan ulamak PAS sedia ada yang duduk dalam AJK Pusat. Nama-nama mereka akan kita dedahkan dalam Muktamar akan datang. Jika tidak, barangkali dalam siri kedua artikel ini......

Kita faham memang terdapat perbezaan pendapat dalam Islam. Namun ia adalah perbezaan pendapat, bukan perbezaan haluan. Yang Erdogan timbulkan ialah perbezaan haluan. Kita tidak mengatakan pimpinan di kalangan ulamak PAS itu maksum dan tidak boleh ditegur. Ini amat jelas dan tak perlu dipanjangkan lagi. Yang kita fokuskan ialah Erdogan yang belot. Yang kita marahkan ialah Erdogan yang sebelah kaki dalam PAS tetapi memberikan ketaatan kepada pihak lain. Ini termasuklah profesional dari jamaah lain[16] yang memasuki PAS sejak 1990 dan kini berada di barisan kepimpinan utama. Isu ini akan kita perluaskan dalam siri akan datang memandangkan ia adalah satu isu yang berat dan sensitif.




_______________________
[1] Sebagai contoh mutakhir, sila lihat tulisan Timbalan Presiden PAS kini, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam 50 Tahun Mempelopori Perubahan – Menyingkap Kembali Perjuangan PAS 50 Tahun, Kuala Lumpur: Parti Islam SeMalaysia, 2001 dan juga The Islamic Party of Malaysia (PAS) – Ideology, Policy, Struggle and Vision Toward the New Millenium, Kuala Lumpur: PAS, 2001.

[2] Untuk mendapat sejarah kelahiran PAS secara akademik, lihat kajian ilmiah M.A. Ustaz Safie Ibrahim, “The Islamic Party of Malaysia – Its Formative Stages and Ideology”, Kelantan, Penerbit Nuawi bin Ismail , 1981.

[3] Umpamanya lihat kajian ilmiah Prof. John Funston dalam “The Origins of Party Islam Se Malaysia”, dalam Journal of South East Asian Studies, Vol.VII, Part I, 1976 dan and Roff. W.R., The Origin of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: Heinemann, 1967.

[4] Dato’ Husam Musa telah membuat kenyatan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 17 Mei 2009 bahawa beliau tidaklah pro-Anwar seperti yang diwar-warkan oleh banyak kalangan dan media. Menurutnya, beliau bersependapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berasaskan satu matlamat – untuk menjatuhkan kerajaan BN dan UMNO dan menggantikannnya dengan Pakatan Rakyat. Menurutnya lagi, beliau pendokong cita-cita PAS dan sentiasa bersama parti. Paling menarik juga adalah ulasan dua orang profesor universiti tempatan dalam Utusan Malaysia bertarikh 18 Mei 2009 yang menyatakan bahawa bagi kalangan ahli PAS dan mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air secara dekat, mereka faham benar siapa dan apa yang telah dilakukan oleh Husam dalam PAS.

[5] Amat menarik juga kita perhatikan, walaupun YB Dato Presiden dikatakan golongan pro-muqabalah, namun yang paling teruk dihentam oleh golongan “Erdogan” ialah Timbalan Presiden.

[6] Sebenarnya penggunaan bahasa biadab ini juga pernah dilakukan oleh seorang pemimpin PAS di Shah Alam ketika bercakap dengan pimpinan bergelar ulamak PAS yang amat disanjungi. Barangkali pihak Pemuda PAS yang lantang lagi berani boleh bertanya kepada saff pimpinan semasa Muktamar bulan Jun nanti dan mendapat jawapan sebenar daripada pimpinan PAS sendiri. Kita mesti berani kerana benar dan Pemuda PAS memang berani kerna benar. Bukankah itu yang dituntut dalam Islam?

[7] Seperti biasa, kita akan diminta membutikannya, namun semua yang aktif dalam politik tanah air tahu apa yang kita maksudkan dalam kertas ini. Kitapun amat mengenali peribadi “Penarik Beca” sejak hujung tahun 70-an lagi dan bagaimana beliau mula aktif dengan PAS Wilayah Persekutuan, hubungannya dengan saudara Abdul Malek Hussin, Ridhuan Oon, penglibatannya dengan Syiah sejak kebangkitan Ayatullah Khomeini di Iran dan sebagainya......sekadar menyingkap kenangan lama. Nanti kalau ada masa dan di tempat lain, kita boleh ceritakan.....

[8] Pimpinan dari kalangan PAS Pusat seperti yang dilakukan oleh YB Dato’ Husam Musa sendiri yang mempertikaikan kepemimpinan Timbalan Presiden sekarang dalam pertemuan tertutup di kalangan mereka yang dipercayai mendokong arus untuk menjatuhkan Ustaz Nasharudin Mat Isa. Kalangan lain di PAS Pusat seperti YB Khalid Samad, YB Dr. Dzulkifli Ahmad dan YB Dr. Hatta Ramli memberikan kritikan yang lebih terbuka dalam blog, ceramah, dan yang paling jelas ialah pandangan-pandangan mereka dalam mesyuarat AJK Pusat. Hj. Annual Bakri, SU Politik Tuan Guru Nik Aziz turut memainkan peranan yang amat aktif dengan memberikan maklumat palsu kepada YAB Menteri Besar Kelantan itu. Maklumat-maklumat yang diperoleh ini boleh saudara rujuk sendiri dengan pimpinan tertinggi Pusat, beberapa anggota Majlis Syura dan pimpinan Negeri. Tidak manis dibongkarkan dalam media dan alam siber demi menjaga adab dan maruah jamaah. Alternatif lain, bongkarkan dalam Muktamar yang bakal menjelang nanti......

[9] Sila lihat hampir setiap hari dalam media termasuk akhbar arus perdana sepeti Utusan Malaysia, tabloid seperti Sinar Harian hatta dalam Harakah Daily sekalipun yang sepatutnya melindungi PAS tetapi membongkar perbezaan pendapat pimpinan (tanpa di sedari atau disengajakan?) dengan tulisan yang menyebelahi satu pihak. Mana-mana pembaca Harakah Daily yang akalnya sihat dapat membezakannya!

[10] Sebagai contoh, Anwar Ibrahim bergerak aktif di bawah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PMUM), Abdul Rahman Rukaini di Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) , Ibrahim Ali dalam Kesatuan Siswa ITM (KSITM).

[11] Contohnya, Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) dan Kesatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (KEPINS).

[12] Kemasukan Ustaz Fadzil ke dalam PAS harus dibezakan daripada kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada bulan Mac 1982. Lihat kertas kerja terkenal berjudul, “Kenapa Kemasukan Sdr. Anwar Ibrahim ke Dalam Umno Tidak Syarie”, 1982 (Edaran untuk ahli-ahli ABIM sahaja ketika itu).

[13] Blog ini amat terkenal pada masa kini sehinggakan timbul pula blog susulan lain berjudul, “Mi Celup Ulam Parasit” dalam www.micelup.blogspot.com. Sebelum ini terbit blog “Anti Husam” yang terkenal dengan kritikan pedas ke atas Husam dan Erdogan yang lain dalam www.antihusam.blogspot.com.

[14] Perkara ini dapat dibuktikan apabila YB Khalid Samad, seorang AJK Pusat menyampaikan taklimat tertutup di Shah Alam mengenai “Muzakarah PAS-UMNO”, mengkritik kepimpinan ulamak secara terbuka dan memutarbelitkan fakta. Malangnya pertemuan seperti ini telah dirancang secara halus dan tidak terbuka luas untuk semua ahli. Hanya ahli yang terpilih dibenarkan menghadiri pertemuan sebegini. Namun perencanaan Allah SWT terlalu agung sehinggakan maklumat sebegini dapat didedahkan juga akhirnya.

[15] Dalam aspek ini beberapa pimpinan tertinggi mempersoalkan bagaimana beberapa makumat terperingkat yang dibincangkan dalam Mesyuarat Politik atau Mesyuarat AJK Pusat didedahkan kepada pengetahun Anwar Ibrahim dengan begitu pantas sekali. Sekali dua ia barangkali secara kebetulan Anwar tahu, tetapi jika terlalu banyak maklumat yang bocor, sudah pasti ada dalangnya yang membocorkan rahsia. Sebaliknya apabila ditanya apakah maklumat yang berada di peringkat Anwar yang boleh AJK Pusat kongsikan, misalnya nama-nama Ahli Parlimen yang bersetuju untuk melompat parti dari BN ke Pakatan Rakyat, sepatah pun tidak berbunyi! Di manakah letaknya prinsip ketaatan dan wala’ kepada kepimpinan Islam? Apakah “Erdogan” yang terlalu banyak membaca buku-buku tulisan pimpinan Ikhwan itu tidak faham prinsip berjamaah? Sebenarnya, rugilah mereka yang berbohong kepada jamaahnya. Rugilah mereka yang telah berdusta kepada Allah SWT!

[16] Keterbukaan PAS mengajak pendokong dan pencinta Islam untuk menganggotainya mempunyai kesan yang sangat baik untuk memperkuatkan parti dari dalam. Pada masa yang sama terdapat anggota jamaah lain yang memasuki PAS dengan tujuan tertentu dan sebenarnya meletakkan wala’ dan thiqah kepada jamaah asalnya. Ini adalah masalah besar ibarat gunting dalam lipatan. Golongan inilah yang pada tahun 80-an kuat mengkritik ulamak-ulamak PAS sebagai “tiada tarbiyyah harakiyyah” termasuklah Tuan Guru Mursyidul ‘Am sendiri tetapi pada hari ini berselindung di sebalik Tuan Guru! Golongan ini yang kebanyakannya mendapat pendidikan bukan agama di luar negara dan mendapat pendedahan daripada kalangan ahli gerakan Islam sedunia, apabila pulang ke tanah air akhirnya menubuhkan sebuah jamaah Islam yang tersendiri, bukan bergabung dalam PAS tetapi memberi saham memecahbelahkan gerakan Islam di Malaysia. Malah pada tahun 1990, terdedah sebuah kertas kerja atas tajuk “Usul Pendekatan Terhadap UMNO” oleh Majlis Syura Jama’ah pimpinannya untuk membolehkan ahli menganggotai UMNO! Insya Allah, perkara ini akan didedahkan dalam masa terdekat.

Parasit Pertama

on Tuesday, May 19, 2009

Salam dunia.


Terlebih dahulu, perlu diperjelaskan sedikit kenapa para ‘pembuat kerja-kerja bodoh’ itu harus didedahkan siapakah mereka. Bukan mahu menambahkan lagi kekusutan ini, tetapi qasad kami adalah untuk membuktikan kebenaran. Demi untuk menyelamatkan jemaah yang sama-sama kita kasihi ini dari terus dimamah dari dalam. Mereka yang pada tanggapan kami sebagai ‘parasit’ itu mestilah dikenal pasti dengan segera sebelum datangnya kemudaratan yang lebih serius kepada PAS.

Mungkin sesetengah pihak tidak bersetuju dengan tindakan nekad kami ini. Ada yang beranggapan bahawa kami adalah pem-batu-api antara puak-puak Erdogan dan golongan ulama. Barangkali ada juga yang mengatakan bahawa kami adalah agen pemecah-belah dalam PAS. Biar sejuta anggapan sekali pun, ketahuilah bahawa tindakan kami ini adalah untuk menyelamatkan parti. Para parasit yang tumbuh meliar itu mestilah dicantas secepatnya sebelum mereka menguasai dari umbi hingga ke pucuk.

Tidak seperti mereka, kami masih lagi memegang teguh dengan prinsip wala’ kepada pimpinan parti dalam perjuangan suci ini. Benar, dengan pendedahan yang kami akan buat ini mungkin ada kemudaratannya. Tapi bagi kami, inilah sahaja jalannya untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar dan parah sekiranya terus membiarkan para parasit itu terus bermaharajalela dari dalam. Lagi pun, langkah kami ini sudah pun mendapat ‘restu’. Moga Allah bersama orang-orang yang benar. Engkau maha Tahu ya Tuhan.


Muzakarah, muqabalah, dan unity goverment

Sekarang kami mulakan dengan serangan yang pertama. Pendedahan ini sangat berkait rapat dengan isu di atas, iaitulah mengenai muzakarah ataupun muqabalah yang timbul tidak berapa lama dahulu dan juga isu negara perpaduan yang masih lagi terasa bahang panasnya.

Kedua-dua isu tersebut dicetuskan oleh Tok Guru Haji Hadi, Presiden PAS. Yang menariknya, kedua-duanya juga ditentang dan dicanggah keras oleh Tok Guru Nik Aziz. Waktu itu media dan kumpulan parasit ini berhempas-pulas melagakan dua pimpinan tertinggi PAS itu. Tambah menarik lagi ialah apabila selang tidak berapa lama kemudian TGNA kembali menerima muzakarah dengan nama barunya muqabalah dan tidak lagi menghentam negara perpaduan. Kenapa kejadian sebegitu berlaku? Elok saja persoalan ini dihujamkan kepada parasit pertama iaitulah Annual Bakri Haron, S/u Politik TGNA. Seorang pendatang dalam PAS yang muncul ketika PAS berkuasa.

Muzakarah dan muqabalah sebenarnya satu benda yang serupa, cuma namanya sahaja yang berlainan. Sebetulnya, nama tersebut telah ditukar untuk menjaga kredibiliti TGNA yang telah dicalarkan oleh puak Erdogan. Muzakarah bermakna perbincangan, muqabalah pula bermaksud pertemuan. Bukankah untuk diadakan perbincangan perlunya pertemuan? Dan apabila berlakunya pertemuan, akan membawa kepada perbincangan? Bukankah begitu? Justeru, ia dua perkataan yang membawa maksud yang serupa. Ini semua terjadi adalah disebabkan feel jelek Annuar Bakri yang memutar-belitkan maksud muzakarah kepada TGNA. Apa yang digambarkan oleh beliau kepada TGNA konon-kononnya ‘muzakarah’ itu adalah perbincangan ataupun pertemuan yang akan menjadi rentetan kepada pergabungan antara PAS dan dan parti sekular UMNO itu.

Sebaik sahaja perjumpaan khas antara pihak Syura dengan TGNA di JKR 10 membincangkan isu muzakarah, maka TGNA bersetuju untuk berbincang (muzakarah) dengan sesiapa sahaja termasuklah UMNO. Tetapi dek kerana parasit ini busuk hati serta tidak mahu wujudnya pertalian mesra antara TGNA dan TGHH, selepas perjumpaan tersebut Annual Bakri terus memainkan peranan ‘jahat’nya agar persepakatan yang diambil oleh TGNA di JKR 10 itu dibatalkan.

Antara lain hujahnya ialah UMNO merupakan satu pertubuhan yang sesat dan mustahil untuk dibawa berbincang. Kerana tidak mahu melayan panjang karenah si parasit yang membelakangi keputusan Syura itu, TGNA terus menjawab, “Kalau anta tak puas hati, baik anta call saja pimpinan Syura”. Annual Bakri langsung menghubungi pimpinan ‘atasan’ Syura yang disebut oleh TGNA untuk mempengaruhi keputusan yang telah disepakati. Tetapi tanpa dijangka, pimpinan tersebut yang terkenal dengan sikap lemah-lembutnya itu telah memarahi beliau dengan kemarahan yang tidak diduga.

Beliau memburuk-burukkan imej TGHH di mata TGNA semata-mata untuk menghilangkan keyakinan TGNA terhadap TGHH. Beliau melaga-lagakan TGNA dengan ramai pimpinan yang pro-ulama, antaranya ialah Cikgu Mustafa Ali, Ust. Halim, dan juga TGHH sendiri.

Secara peribadi, beliau merupakan di antara bekas pegawai kanan di Kementerian Kewangan sewaktu Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan. Beliau juga pernah bersama-sama dengan YB Dato’ Paduka Husam Musa semasa menuntut dalam bidang ekonomi di UM, malah turut bersama-sama menjadi aktivis pelajar. Jadi, hubungan ‘proksi’ mereka sudah lama terjalin dan begitu intim sekali.

Walaupun beliau merupakan mantan Presiden PMUM, namun beliau begitu ‘slow’ ataupun pasif dalam gerak-kerja parti. Pada kebiasaannya, mereka yang aktif berpersatuan di universiti, pasti akan bergiat cergas ketika di dalam parti. Tetapi, kenapa si parasit ini sedemikian itu pula halnya? Tengok, betapa liciknya beliau. Beliau hanya menjadi orang di belakang tabir sahaja di dalam PAS. Namun, beliau berperanan besar menyusun strategi dan mencaturkan pergerakan TGNA. Lebih menguntungkan lagi, apabila beliau dilantik sebagai S/u Politik TGNA.

Untuk mengukuhkan lagi tapaknya di belakang TGNA, beliau dengan sengaja merancana dan mempengaruhi TGNA agar sesiapa yang bertentangan ‘akidah’ dengannya dapat disingkirkan. Antaranya ialah Ustaz Wan Ismail Wan Yusof dan Ustaz Fauzi Zakaria, bekas S/u Akhbar TGNA. Beliau juga membuat cuplikan ataupun ‘pencurian’ karya yang ada kaitan dengan TGNA lalu menerbitkan buku-buku tersebut atas namanya. Semua itu adalah untuk menjulang nama beliau yang kononnya ‘low profile’ dan tidak inginkan jawatan dalam PAS.

Berkaitan unity goverment, apa yang ditakuti sangat jikalau pimpinan PAS membuka ruang untuk diadakan perjumpaan dengan pihak UMNO? Sedangkan semua (para pimpinan) sudah pun maklum dan tugas sudah diagih ke arah itu semasa dalam mesyuarat di peringkat pusat. Puak-puak Erdogan yang ‘tidak beriman’ dengan kepimpinan ulama ini sengaja mengwar-warkan separuh keputusan muktamar di Perak tahun lalu yang menyebut “perkasakan pakatan rakyat”. Walhal, keputusan penuh yang dicapai pada muktamar tersebut ialah “memperkasakan pakatan rakyat dan membuka pintu perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk UMNO”. Lihat, terang-terangan mereka berdusta. Mereka menipu kami. Menipu kalian. Menipu kita semua. Dan menipu para pejuang kebenaran di bumi Malaysia. Sebagaimana juga kita tertipu dengan hikayat 16 September yang didongengkan oleh sesetengah pihak tidak berapa lama dahulu.

Lebih malangnya lagi pabila wujud juga parasit (yang pastinya penjilat kumpulan Erdogan) yang sanggup mencelah di dalam sidang mesyuarat pusat lantas terang-terangan menyerlahkan sikap mereka yang langsung tidak memegang konsep dan peradaban wala’ kepada pimpinan. Mereka merupakan proksi Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Dalam satu mesyuarat yang diadakan di peringkat pusat, dalam satu kes, puak-puak Erdogan ini lebih mengutamakan pandangan serta persetujuan DSAI pada menentukan sesuatu keputusan. Mereka hanya akan bersetuju dengan keputusan mesyuarat apabila DSAI terlebih dahulu menyetujuinya.

Dahsyat bukan? Hilang terus konsep al-wala’ di sanubari puak-puak Erdogan ini. Atau, mungkin wala’ mereka bertukar tangan kepada DSAI? Itu tidak dapat kami pastikan. Kalian lebih bijak menilainya. Mungkin DSAI pun tidak bersetuju dengan feel huduh mereka itu. Entah, hanya Tuhan dan diri mereka sendiri yang lebih arif. Pandanglah ke langit, kamu masih ada kesempatan untuk ‘kembali ke jalan yang lurus’.

Itulah sedikit al-kisah muzakarah, kerajaan perpaduan, dan perilaku ‘liar’ Annual Bakri. Memang begitu jelek sekali parasit ini bukan. Beliau dan beberapa orang lagi dari kerabat Erdogan ini bahu-membahu dalam merancang strategi menghuru-harakan parti dengan mencetuskan hubungan kurang mesra di antara TGNA dan juga TGHH. Sabar, nanti pada artikel seterusnya kami akan bongkarkan seorang demi seorang siapakah lagi golongan parasit yang digelar oleh kawan penulis sebagai ‘munafik’ itu.

Kita jumpa pada episod yang akan datang. Pasti lebih ‘menghiburkan’.

Ulama, Parasit, dan Nik Abduh

on Tuesday, May 5, 2009

Salam dunia.


Muktamar Tahunan Parti Islam SeMalaysia (PAS) semakin hampir. Muktamar pada kali ini sudah seusia 55 tahun. Satu jangka masa yang kian mencapai tahap kematangan dalam perjuangannya. PAS, dengan paksi perjuangan demi untuk melestarikan syiar dan syariat Islam di muka bumi khususnya di Malaysia tercinta ini, sudah semestinya kita berkeyakinan penuh bahawa langkah ini tidak sia-sia. Bahkan menjadi saham berharga yang dinilai di sisi Allah SWT. Kita pohon ke hadrat Allah SWT agar merestui dan redha dengan apa yang kita usahakan ini. Kita memohon kepada Allah SWT supaya dipelihara mereka-mereka yang ikhlas menjalankan amanah besar yang terpikul ini.

Semua sudah termaklum dan mengetahui bahawa pada muktamar kali ini akan dibuka ruang seluas-luasnya kepada sebarang pertandingan dalam pemilihan pimpinan bermula dari akar hinggalah pucuknya, iaitu Presiden. Media arus perdana sekarang pula sedang bekerja keras memesongkan ‘akidah’ masyarakat terhadap PAS dengan isu pemilihan tersebut. Ujud juga makhluk-makhluk parasit yang cuba memakan dan membatu-apikan saf kepimpinan yang dianggotai oleh golongan ulama dan profesional.

Izinkan saya mencatatkan tutur kata yang lebih berani, para makhluk parasit itu lebih pantas kita istilahkan sebagai pengkhianat. Ada kawan saya yang menggelarkan mereka sebagai ‘munafik’. Apa tidaknya, mereka sanggup mewujudkan keadaan tegang sesama pimpinan. Mereka rela mengucar-kacirkan konsep kepimpinan ulama yang jelas terbukti diterima ramai hatta oleh Non-Muslim. Mereka tergamak menjadi barua pencacai dengan mengesampingkan konsep wala’ kepada pimpinan demi hanya kerana sebuah jawatan. Ya, sekiranya mereka enggan sedarkan diri dan bertaubat, mereka selayaknyalah dinyahkan dari terus menjadi virus di dalam batang tubuh jamaah Islam yang kita sayangi ini. Virus yang terhasil daripada makhluk parasit ini lebih dahsyat dan mengerikan dari wabak influenza A ataupun dengan nama mualnya ‘Selsema Babi’.

Apa perbezaan PAS dengan UMNO? Kenapa kita bermatian melawan UMNO? Ini satu soalan yang teramat mudah bagi sesetengah orang yang memahami jalan perjuangan PAS. Perbezaannya adalah kerana PAS membawa dasar berlandaskan Islam. Dan perjuangan PAS adalah untuk meninggikan kalimah Islam mengatasi selainnya. Apa pula itu Islam? Tok-tok guru kita acap kali mengatakan bahawa Islam itu merupakan sebuah agama yang diturunkan nun sayup dari tujuh petala langit bagi menyempurnakan akhlak manusia seluruhnya. Golongan profesional agama ini (ya, mereka juga profesional) mengambil pusaka daripada nabi-nabi dalam menjelaskan keperibadian mulia kepada manusia di sepanjang zaman.

Justeru, keperibadian yang bertunaskan akhlak Islamiah harus mengalir subur di kalangan para penggerak PAS terutamanya dalam diri pimpinan. Jika akhlak mereka menyimpang dan bernanah, kita cuba untuk mengubati. Tetapi, andainya mereka berdegil tidak mahu diubati, ataupun memang tiada vaksin lagi yang dapat mencegah wabak itu, apa yang sebijaknya kita lakukan? Ya, kita potongkan sahaja. Pohon sembah derhaka.

Di dalam blog ‘masanya memilih jalan yang lurus’, kanda Nik Abduh telah didesak malahan dicabar supaya mendedahkan siapa yang dimaksudkan olehnya yang membuat ‘kerja-kerja bodoh dalam PAS’. Namun, demi menjaga solidariti dan juga mungkin masih membuka ruang ‘kembali ke jalan yang lurus’, kanda Nik Abduh sehingga tulisan ini tersiar masih lagi tidak mendedahkan siapakah pembantu-pembantu ayahandanya yang telah ‘tersesat’ itu. Pun begitu, desakan terus berlanjutan dan ada juga kenyataan-kenyataan ‘seseorang’ yang menafikan hujah dan juga menganggap pembongkaran daripada kanda Nik Abduh itu hanyalah satu omongan kosong. Dengan makna lain, ada yang menganggap kanda Nik Abduh telah berbohong dalam tulisan beliau itu.

Nah, kerana itulah lahirnya laman blog ini. Sebagai kesinambungan penjelasan yang lebih berani bagi mengukuhkan lagi apa yang diperkatakan oleh kanda Nik Abduh dalam blognya. Kami terasa terpanggil untuk membuat pendedahan itu justeru kerana ingin menegakkan apa yang benar. Bagi kami, kanda Nik Abduh telah membuka jalan. Benar, balasan yang selayaknya harus kita hukumkan kepada para makhluk perosak itu.

Kepada kalian, teruslah bersama kami di dalam blog ini untuk mengetahui pembongkaran demi pembongkaran siapakah yang membuat ‘kerja-kerja bodoh’ itu.

Ayuh, mari kita bongkarkannya!