Baca posting terkini. Sila skrol ke bawah.

Imej dicelup dari Harakahdaily.net

Antara Ulama & Profesional Dalam Pas - Analisis (1)

on Wednesday, May 20, 2009


Prolog


Ketika menandakan kewajiban berdakwah dalam Islam, Allah SWT telah berfirman di dalam al-Qur’an,

“Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan janganlah kamu bercerai berai....” (Ali ‘Imran: 103)

dengan maksud lafaz maksud supaya umat Islam bersatu di atas Nama Allah dan pertelingkahan sesama sendiri menjadi punca utama kejatuhan Islam yang Allah tahu akan berlaku di kalangan ummat-Nya.



Pendahuluan


Artikel ini ditulis dengan nota kaki dan rujukan yang bertanggungjawab, dibentangkan untuk semua pendokong gerakan Islam, terutamanya pendokong Parti Islam Se Malaysia (PAS) dengan maksud supaya:

(i) Pendokong dan penggerak PAS dapat menyingkap kembali perjuangannya;

(ii) Pemuda PAS selaku barisan pelapis memahami sejarah PAS sehingga kini;


(iii) Gabungan Ulamak dan Profesional dimantapkan dalam konteks “Kepemimpinan Ulamak” yang didokong oleh PAS sejak tahun 1982 hingga kini; dan

(iv) Pimpinan PAS mengambil sikap tegas menyusun semula saff pelapis dan kepemimpinannya bagi menghadapi suasana politik baru Malaysia yang semakin mencabar.



Latar Belakang

Sejarah PAS telah dilakarkan dengan cukup lengkap menerusi pelbagai tulisan dan analisis, bukan sahaja oleh kalangan pimpinan dan pendokongnya,[1] malah oleh sarjana akademik tempatan[2] dan luar negara[3] dengan meluas. Kita tidak berminat untuk merungkainya semula. Saudara pendokong gerakan Islam boleh mendapatkannya melalui senarai tulisan dalam nota kaki artikel ini.

Apa yang lebih difokuskan ialah trend mutakhir di kalangan pendokong dan pimpinan PAS dari kalangan yang dikatakan sebagai golongan profesional atau sering dilabelkan sebagai kumpulan “Erdogan” versus golongan ulamak yang mendapat pendidikan formal dalam bidang agama Islam sama ada di dalam atau luar negara. Golongan profesional yang dikatakan dipelopori oleh Naib Presiden masa kini, YB Dato’ Husam Musa dikaitkan dengan istilah “anti-muqabalah”, “pro Anwar ibrahim”[4] dan sebagainya yang “kononnya” mendapat restu Tuan Guru Mursyidul ‘Am dan golongan ulamak yang dipimpin oleh YB Tuan Guru Dato’ Abdul Hadi Awang yang dikaitkan dengan “pro-muqabalah” yang disebut-sebut dipelopori oleh Timbalannya, YB Ustaz Nasharudin Mat Isa.[5]

Kita tidak berminat untuk mengulas tulisan-tulisan nakal dalam pelbagai blog seperti “Penarik Beca” dan seumpamanya yang menulis tanpa adab dan menggunakan bahasa kesat lagi biadab[6] terhadap sesiapa yang menjadi sasarannya. Cukuplah dikatakan bahawa saudara “Bakaq Haq”” amat kita kenali sejarahnya, dari zaman mudanya sehinggalah beliau menjadi penulis blog yang mengikut sesetengah penganalisa politik dalaman PAS, dikatakan mendapat sokongan kalangan “Erdogan” and is said to be well paid to do all the dirty works on behalf of somebody![7]

Yang ingin kita elakkan ialah perpecahan di dalam PAS di antara golongan ulamak dan profesional menjelang Muktamar bulan Jun 2009 ini. Yang amat kita takutkan ialah pembawaan unsur dari sesetengah kalangan pimpinan PAS sendiri[8] yang tidak bersetuju dengan pimpinan utama lantas membuat kerja-kerja untuk menjatuhkan pimpinan sedia ada dengan pelbagai usaha seperti:-

(i) Melaga-lagakan Tuan Guru Mursyidul ‘Am dengan Tuan Guru Presiden;[9]

(ii) Membawa hasil perbincangan dalaman mesyuarat pelbagai peringkat ke luar mesyuarat;


(iii) Lebih mendengar “arahan atau nasihat” pihak di luar parti PAS daripada meletakkan thiqah dan ta’ah kepada pimpinan sedia ada;

(iv) Duduk dalam pimpinan PAS tetapi pada masa yang sama menganggotai “jamaah lain”.



Gabungan Tenaga Ulamak Dan Profesional

Kepemimpinan Ulamak bermula di Muktamar tahun 1983 di DBP. Setelah Allahyarham Datuk Asri Muda berjaya dijatuhkan, PAS secara rasmi mengisytiharkan konsep kepemimpinan ulamak. Ia bertahan sehingga kini dan PRU-12, tahun 2008 memperlihatkan kecemerlangan PAS dalam lanskap politik tanah air. Pilihanraya 1990 adalah permulaan masuknya golongan profesional dalam PAS secara full time, sehingga membuahkan hasil 27 MP Pas di Parlimen. Dr. Syed Azman, Dr. Hassan Ali, Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, Husam Musa, Salahudin Ayub, Mahfuz Omar, Kamaruddin Jaafar, Dr Lo’ Lo’ , Dr. Mariah Mahmud dan sederet nama yang lain memberikan gandingan mantap kepada kepemimpinan ulamak, sama-sama meredah persada politik tanah air sehinggakan mencatat sejarah negara dan PAS di mana Allahyarham Dato’ Fadzil Noor dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen.

Menyingkap kemenangan besar tersebut, ia adalah usaha gigih para ulamak PAS untuk menerima barisan pemuda profesional untuk bertanding dalam pilihanraya umum atas tiket PAS. Tidak dapat dinafikan bahawa Allahyarham Ustaz Fadzil Noor seorang mastermind politik PAS yang jauh pandangannya, mampu melihat projection musuh politiknya. Beliau jugalah faktor penarik golongan profesional untuk berjinak-jinak dengan PAS. Tidak dapat dinafikan juga, hubungan golongan profesional dengan pimpinan PAS telah dipupuk sejak akhir 70-an lagi. Ketika itu gerakan Islam di Malaysia disusun rapi di mana para pelajar bergabung mengikut strata lapisan perkaderan dan kepemimpinan berikut – (1) Peringkat asas; pergerakan pelajar menyaksikan gerakan Islam bergerak secara tanzim yang pelbagai melalui persatuan di kampus-kampus universiti[10] (2) Peringkat kedua; bergerak di bawah naungan Persaatuan Pelajar Negeri[11] dan akhirnya persatuan induk di bawah PKPIM (3) Peringkat ketiga; bergerak di bawah ABIM Negeri dan Pusat dan akhirnya (4) Peringkat keempat; melibatkan diri secara langsung dan aktif dalam medan politik bersama PAS. Ustaz Fadhil sendiri adalah Timbalan Presiden ABIM yang kemudiannya dilepaskan, dengan persetujuan syuar dan kepimpinan PAS ketika itu, untuk membantu sahabat-sahabat lain dalam PAS.[12]

Kita berpandangan gabungan tenaga para ulamak dan profesional di bawah bimbingan Majlis Syura Pusat adalah adunan paling mujarab dan gandingan paling mantap untuk menongkah arus politik negara dalam konteks PAS. Ia terbukti pada PRU tahun 1990 sehingga kini. Jangan kita dilekakan dengan slogan “anti ulamak” atau “pro intelektual/profesional” yang kuat berkumandang kini. Ia diperhebatkan lagi oleh media arus perdana.



Benarkah Berlaku Pertembungan Dua Golongan – Ulamak dan Profesional?

Inilah persoalan besar yang berlaku kini. Benarkah begitu? Mari kita buat analisis mudah. Rata-rata kita dengar sungutan seperti berikut.....

“Golongan ulamak gagal mentadbir negara, kurang ilmu pengurusan semasa dan tak pandai menyelami hasrat rakyat di peringkat akar umbi khususnya kaum bukan Islam. Malaysia masyarakat majmuk; profesioanal lebih berkesan.”

“Golongan profesional mendapat tarbiyyah daripada pimpinan harakah Islamiyyah luar negara khususnya Ikhwanul Muslimin ketika belajar di luar negara, ada yang mampu berbahasa Arab, ada yang mampu mentafsir dan mengupas hadith serta sirah malah dilihat lebih baik daripada ulamak PAS yang tidak mendapat pendedahan harakiyy daripada pimpinan ‘alami.”

“Golongan ulamak tidak boleh “think outside the box”, gagal membuat “political reading” dengan baik, amat bergantung pada kerja-kerja asas yang dilakukan oleh golongan profesional terutamanya untuk kerja-kerja Parlimen seperti menjawab soalan Dewan, dsb. Ringkasnya ulamak tidak mampu mentadbir negara.”

Jawapan mudah kita ialah, jika benar ulamak lemah seperti yang dikatakan itu, bukankah menjadi tugas dan kewajipan golongan profesional untuk mendokong dan membantu para ulamak di mana yang perlu? Bukah itukah gandingan tenaga ulamak dan profesional namanya? Kenapa ulamak diperlekehkan sebegitu rupa? Apakah kalangan profesional merasakan mereka sudah cukup ilmunya dan sudah bersedia untuk membuat all out performance dalam rangka grand designnya untuk menjatuhkan kalangan ulamak dalam pemilihan di muktamar akan datang? Apakah mereka rasakan melalui sistem demokrasi (undian terbuka) dan perlembagaan PAS sedia ada, dapat mereka memanipulasikan keadaan dengan cara melobi sana sini, membuat panggilan telefon ke sana sini untuk merasmikan mesyuarat PAS Kawasan dengan maksud kempen dan sebagainya? Ini bukan UMNO, minta maaf; ini gelanggang PAS! Dalam konteks ini, barangkali ada benarnya teguran keras Ustaz Nik Abduh Nik Aziz, anak Tuan Guru Mursyidul ‘Am dalam blog terkenalnya, Masanya Memilih Jalan Yang Lurus[13] apabila melabelkan golong profesional sebegini sebagai mereka yang ibarat mendapat ilmu secara “mi celup”!

Dalam membentangkan pertembungan golongan ulamak dengan profesional ini, kita mestilah tepat dan kritikal kerana bukan semua golongan profesional yang bergerak dalam PAS digolongkan sebagai anti ulamak. Golongan profesional yang mempersoalkan pimpinan ulamak ialah profesional yang melakukan perkara-perkara berikut:-

(i) Profesional yang duduk dalam barisan kepemimpinan PAS tetapi
mengkritik keputusan kepimpinan PAS dalam mesyuarat bukan dengan maksud membina tetapi merendahk-rendahkan kepimpinan dan membawa
perasaan tak puas hati itu ke luar mesyuarat;[14]

(ii) Membawa apa-apa keputusan rahsia mesyuarat kepada pihak di luar mesyuarat terutamanya rakan sekutu daripada parti politik lainnya disebabkan tidak berpuas hati dengan kepimpinan;[15]

(iii) Tidak menerima keputusan dan arahan kepimpinan PAS. Sebarang keputusan yang dicapai, mereka cuma ambil sebahagian yang serasi dengan pemikiran mereka dan menolak sebahagian yang lain. Contoh yang jelas ialah keputusan penuh Majlis Syura PAS Pusat mengenai muzakarah dengan UMNO, iaitu "Majlis Syura Ulama yang bersidang pada 23 April, 2008 mengambil ketetapan bersetuju sebulat suara merestui Presiden, Timbalan Presiden dan Setiausaha Agung parti bagi mempertingkatkan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyatupadukan umat Islam dan rakyat Malaysia" dan juga keputusan Muktamar PAS Tahun 2008 di Perak untuk


“memperkasakan pakatan rakyat dan membuka pintu perbincangan dengan mana-mana pihak termasuk UMNO”.


Mengapa terjadi demikian? Inilah persoalan tarbiyyah. Ini persoalan adab dan akhlak berjamaah. Ini persoalan thiqah dan wala’ kepada pimpinan. Jelasnya golongan “Erdogan” menolak kepimpian ulamak sedia ada dan ingin menggantikannya dengan “Kepimpinan Islam” untuk merangkumi mereka yang profesional dan menyamatarafkan mereka dengan golongan ulamak. Kepimpinan Ulamak PAS semasa tiada masalah dengan golongan profesional. Yang ada masalah ialah golongan Erdogan profesional yang membuat perancangan untuk menjatuhkan pemimpin dari kalangan ulamak dan digantikan dengan profesional. Golongan Erdogan ini juga mendapat sokongan beberapa nama besar dari kalangan ulamak PAS sedia ada yang duduk dalam AJK Pusat. Nama-nama mereka akan kita dedahkan dalam Muktamar akan datang. Jika tidak, barangkali dalam siri kedua artikel ini......

Kita faham memang terdapat perbezaan pendapat dalam Islam. Namun ia adalah perbezaan pendapat, bukan perbezaan haluan. Yang Erdogan timbulkan ialah perbezaan haluan. Kita tidak mengatakan pimpinan di kalangan ulamak PAS itu maksum dan tidak boleh ditegur. Ini amat jelas dan tak perlu dipanjangkan lagi. Yang kita fokuskan ialah Erdogan yang belot. Yang kita marahkan ialah Erdogan yang sebelah kaki dalam PAS tetapi memberikan ketaatan kepada pihak lain. Ini termasuklah profesional dari jamaah lain[16] yang memasuki PAS sejak 1990 dan kini berada di barisan kepimpinan utama. Isu ini akan kita perluaskan dalam siri akan datang memandangkan ia adalah satu isu yang berat dan sensitif.




_______________________
[1] Sebagai contoh mutakhir, sila lihat tulisan Timbalan Presiden PAS kini, Ustaz Nasharudin Mat Isa dalam 50 Tahun Mempelopori Perubahan – Menyingkap Kembali Perjuangan PAS 50 Tahun, Kuala Lumpur: Parti Islam SeMalaysia, 2001 dan juga The Islamic Party of Malaysia (PAS) – Ideology, Policy, Struggle and Vision Toward the New Millenium, Kuala Lumpur: PAS, 2001.

[2] Untuk mendapat sejarah kelahiran PAS secara akademik, lihat kajian ilmiah M.A. Ustaz Safie Ibrahim, “The Islamic Party of Malaysia – Its Formative Stages and Ideology”, Kelantan, Penerbit Nuawi bin Ismail , 1981.

[3] Umpamanya lihat kajian ilmiah Prof. John Funston dalam “The Origins of Party Islam Se Malaysia”, dalam Journal of South East Asian Studies, Vol.VII, Part I, 1976 dan and Roff. W.R., The Origin of Malay Nationalism, Kuala Lumpur: Heinemann, 1967.

[4] Dato’ Husam Musa telah membuat kenyatan dalam akhbar Mingguan Malaysia pada 17 Mei 2009 bahawa beliau tidaklah pro-Anwar seperti yang diwar-warkan oleh banyak kalangan dan media. Menurutnya, beliau bersependapat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berasaskan satu matlamat – untuk menjatuhkan kerajaan BN dan UMNO dan menggantikannnya dengan Pakatan Rakyat. Menurutnya lagi, beliau pendokong cita-cita PAS dan sentiasa bersama parti. Paling menarik juga adalah ulasan dua orang profesor universiti tempatan dalam Utusan Malaysia bertarikh 18 Mei 2009 yang menyatakan bahawa bagi kalangan ahli PAS dan mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air secara dekat, mereka faham benar siapa dan apa yang telah dilakukan oleh Husam dalam PAS.

[5] Amat menarik juga kita perhatikan, walaupun YB Dato Presiden dikatakan golongan pro-muqabalah, namun yang paling teruk dihentam oleh golongan “Erdogan” ialah Timbalan Presiden.

[6] Sebenarnya penggunaan bahasa biadab ini juga pernah dilakukan oleh seorang pemimpin PAS di Shah Alam ketika bercakap dengan pimpinan bergelar ulamak PAS yang amat disanjungi. Barangkali pihak Pemuda PAS yang lantang lagi berani boleh bertanya kepada saff pimpinan semasa Muktamar bulan Jun nanti dan mendapat jawapan sebenar daripada pimpinan PAS sendiri. Kita mesti berani kerana benar dan Pemuda PAS memang berani kerna benar. Bukankah itu yang dituntut dalam Islam?

[7] Seperti biasa, kita akan diminta membutikannya, namun semua yang aktif dalam politik tanah air tahu apa yang kita maksudkan dalam kertas ini. Kitapun amat mengenali peribadi “Penarik Beca” sejak hujung tahun 70-an lagi dan bagaimana beliau mula aktif dengan PAS Wilayah Persekutuan, hubungannya dengan saudara Abdul Malek Hussin, Ridhuan Oon, penglibatannya dengan Syiah sejak kebangkitan Ayatullah Khomeini di Iran dan sebagainya......sekadar menyingkap kenangan lama. Nanti kalau ada masa dan di tempat lain, kita boleh ceritakan.....

[8] Pimpinan dari kalangan PAS Pusat seperti yang dilakukan oleh YB Dato’ Husam Musa sendiri yang mempertikaikan kepemimpinan Timbalan Presiden sekarang dalam pertemuan tertutup di kalangan mereka yang dipercayai mendokong arus untuk menjatuhkan Ustaz Nasharudin Mat Isa. Kalangan lain di PAS Pusat seperti YB Khalid Samad, YB Dr. Dzulkifli Ahmad dan YB Dr. Hatta Ramli memberikan kritikan yang lebih terbuka dalam blog, ceramah, dan yang paling jelas ialah pandangan-pandangan mereka dalam mesyuarat AJK Pusat. Hj. Annual Bakri, SU Politik Tuan Guru Nik Aziz turut memainkan peranan yang amat aktif dengan memberikan maklumat palsu kepada YAB Menteri Besar Kelantan itu. Maklumat-maklumat yang diperoleh ini boleh saudara rujuk sendiri dengan pimpinan tertinggi Pusat, beberapa anggota Majlis Syura dan pimpinan Negeri. Tidak manis dibongkarkan dalam media dan alam siber demi menjaga adab dan maruah jamaah. Alternatif lain, bongkarkan dalam Muktamar yang bakal menjelang nanti......

[9] Sila lihat hampir setiap hari dalam media termasuk akhbar arus perdana sepeti Utusan Malaysia, tabloid seperti Sinar Harian hatta dalam Harakah Daily sekalipun yang sepatutnya melindungi PAS tetapi membongkar perbezaan pendapat pimpinan (tanpa di sedari atau disengajakan?) dengan tulisan yang menyebelahi satu pihak. Mana-mana pembaca Harakah Daily yang akalnya sihat dapat membezakannya!

[10] Sebagai contoh, Anwar Ibrahim bergerak aktif di bawah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PMUM), Abdul Rahman Rukaini di Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM) , Ibrahim Ali dalam Kesatuan Siswa ITM (KSITM).

[11] Contohnya, Persatuan Pelajar-Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) dan Kesatuan Pelajar Islam Negeri Sembilan (KEPINS).

[12] Kemasukan Ustaz Fadzil ke dalam PAS harus dibezakan daripada kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada bulan Mac 1982. Lihat kertas kerja terkenal berjudul, “Kenapa Kemasukan Sdr. Anwar Ibrahim ke Dalam Umno Tidak Syarie”, 1982 (Edaran untuk ahli-ahli ABIM sahaja ketika itu).

[13] Blog ini amat terkenal pada masa kini sehinggakan timbul pula blog susulan lain berjudul, “Mi Celup Ulam Parasit” dalam www.micelup.blogspot.com. Sebelum ini terbit blog “Anti Husam” yang terkenal dengan kritikan pedas ke atas Husam dan Erdogan yang lain dalam www.antihusam.blogspot.com.

[14] Perkara ini dapat dibuktikan apabila YB Khalid Samad, seorang AJK Pusat menyampaikan taklimat tertutup di Shah Alam mengenai “Muzakarah PAS-UMNO”, mengkritik kepimpinan ulamak secara terbuka dan memutarbelitkan fakta. Malangnya pertemuan seperti ini telah dirancang secara halus dan tidak terbuka luas untuk semua ahli. Hanya ahli yang terpilih dibenarkan menghadiri pertemuan sebegini. Namun perencanaan Allah SWT terlalu agung sehinggakan maklumat sebegini dapat didedahkan juga akhirnya.

[15] Dalam aspek ini beberapa pimpinan tertinggi mempersoalkan bagaimana beberapa makumat terperingkat yang dibincangkan dalam Mesyuarat Politik atau Mesyuarat AJK Pusat didedahkan kepada pengetahun Anwar Ibrahim dengan begitu pantas sekali. Sekali dua ia barangkali secara kebetulan Anwar tahu, tetapi jika terlalu banyak maklumat yang bocor, sudah pasti ada dalangnya yang membocorkan rahsia. Sebaliknya apabila ditanya apakah maklumat yang berada di peringkat Anwar yang boleh AJK Pusat kongsikan, misalnya nama-nama Ahli Parlimen yang bersetuju untuk melompat parti dari BN ke Pakatan Rakyat, sepatah pun tidak berbunyi! Di manakah letaknya prinsip ketaatan dan wala’ kepada kepimpinan Islam? Apakah “Erdogan” yang terlalu banyak membaca buku-buku tulisan pimpinan Ikhwan itu tidak faham prinsip berjamaah? Sebenarnya, rugilah mereka yang berbohong kepada jamaahnya. Rugilah mereka yang telah berdusta kepada Allah SWT!

[16] Keterbukaan PAS mengajak pendokong dan pencinta Islam untuk menganggotainya mempunyai kesan yang sangat baik untuk memperkuatkan parti dari dalam. Pada masa yang sama terdapat anggota jamaah lain yang memasuki PAS dengan tujuan tertentu dan sebenarnya meletakkan wala’ dan thiqah kepada jamaah asalnya. Ini adalah masalah besar ibarat gunting dalam lipatan. Golongan inilah yang pada tahun 80-an kuat mengkritik ulamak-ulamak PAS sebagai “tiada tarbiyyah harakiyyah” termasuklah Tuan Guru Mursyidul ‘Am sendiri tetapi pada hari ini berselindung di sebalik Tuan Guru! Golongan ini yang kebanyakannya mendapat pendidikan bukan agama di luar negara dan mendapat pendedahan daripada kalangan ahli gerakan Islam sedunia, apabila pulang ke tanah air akhirnya menubuhkan sebuah jamaah Islam yang tersendiri, bukan bergabung dalam PAS tetapi memberi saham memecahbelahkan gerakan Islam di Malaysia. Malah pada tahun 1990, terdedah sebuah kertas kerja atas tajuk “Usul Pendekatan Terhadap UMNO” oleh Majlis Syura Jama’ah pimpinannya untuk membolehkan ahli menganggotai UMNO! Insya Allah, perkara ini akan didedahkan dalam masa terdekat.

5 comments:

Anonymous said...

Saya bersetuju dng pendedahan sedemikian! Memandang ramai ahli Pas dan penyokong Pas dikalangan remaja terutamanya yg mendapat maklumat terus dari internet (blogs) yg tidak dapat di tarbiyahkan secara langsung atau tidak/belum sempat untuk mengikutinya. Dng pendedahan ini dapat membezakan di antara profesional yg berkepentingan dng yg benar2 mahu Islam ditegakkan supaya kepala otak profesional tidak di celarukan oleh manipulasi yg ulama' mahu segala2nya.

Abuzar said...

Artikel ini, pada saya hanya syok dengan imajinasi sendiri saja............

Pertuduhan melulu satu2 pihak yang hujjah yang dangkal dan jumud .... terutama kepada pihak profesional Islamis yang dikatakan "erdogan" itu.

Semasa era almarhun Ustaz Fadhil Nor, ramai profesional Islamis ini menyertai PAS. Tahun-tahun 70-80an, mereka ini ditarbiyah semenjak dibangku sekolah lagi. Mereka membawa misi Islam sehingga ke universiti. Mereka penggerak, pejuang dan pentarbiyyah di kampus2 sama ada didalam atau diluar negeri. Kalau di Amerika atau United kingdom walaupun tak ramai ustaz2 mengaji lulusan Mesir/Jordan/Arab disana, tetapi mereka aktivis gigih yang mendekat pelajar2 Melayu kepada Islam dan mengkaderkan para pejuang Islam. Mereka mujahadah menolak pujukan nafsu dan ideologi sekular dinegara kuffar yang penuh cabaran itu. Mereka kembali dan bekerja dipelbagai bidang. Mereka sentiasa sedia menyumbang untuk Islam. Pada masa PAS dilihat sebagai parti yang kurang berdaya maju, arwah Ustaz Fadhil sentiasa melihat potensi mereka untuk Islam. Kekentalan, kecekalan dan strategis perjuangan. Percubaan demi percubaan, PAS hari ini semakin mantap, diterima umum dan terserlah keunggulannya. Digeruni oleh musuh tradisi iaitu UMNO. Mungkin inilah puncanya. Ramai yang terasa mereka ini sudah menjadi parasit dalam PAS?!

Dengan kedudukan PAS yang dibayangkan hebat hari ini, kuasa tawar menawar pun agak laku. Peluang2 peribadi semakin terbentang. Tetapi hajat selalu terhalang. Maka segala yang dikatakan "parasit" perlu dibuang. Mungkin puak2 "erdogan" dicopkan sebagai jembalang. Ini merupakan intisari kepada artikel ini!

Sebagai aktivis Islam, empunya artikel ini perlu menilai semula sama ada betulkan tohmahan terhadap "erdogan" itu. Apakah puak profesional Islamis "erdogan" ini merupakan- "Parasit" atau "Catalyst" kepada memperkasakan PAS??!!

Sebelum mencatas dahan "parasit", tolehlah kembali pengalaman UMNO bila mencatas ahli2 /pemimpin2 berkelibar & berintegriti ..... akhirnya siapa yang tinggal ... mereka tidak relevan lagi dihati rakyat!

Anonymous said...

x dak masaalah kalau org profesional nak bantu Pas, dan memang pon mereka wajib menolong jemaah Islam, bahkan semua org islam wajib bantu gerakan Islam, tp x boleh org yang x profesional dalam bidang agama ( bukan ulamak ) nak pimpin jemaah islam sebab mereka bukan profesional dalam syariah.

setiap orang ada tugas, tidak logik pakar doktor gigi nak kerja buat sawah , dia mesti rujuk kat pesawah. biaq la dokor gigi dengan kerjanya dan pesawah dengan kerjanya,

memimpin nie kerja nabi2 , dan ulamak adalah pewaris mereka , kita ikut je la , buat apa kita susah2 cari beban, benda mudah bg jadi mudah , x yah susah2kan diri anda ,

anda pakar dalam bidang perakaunan , kerja je kat bidang2 yang berkaitan dgn perakaunan , x yah susahkan diri anda kerja di sawah2 padi , atau menjadi doktor gigi , nanti org terajang sebab anda buat kerja x betoi, kat kiamat kena tanya plak , sebab apa pi buat kerja yang anda x pakar , ( rujuk surah al-isra ayat 36 )

marilah bersama2 menjadi pengikut pewaris nabi2 , pilihlah pewaris nabi2

Abuzar said...

Anom,

Saya setuju dengan sebahagian besar ulasan tuan. Tapi tak setuju dengan ayat "tp x boleh org yang x profesional dalam bidang agama ( bukan ulamak ) nak pimpin jemaah islam sebab mereka bukan profesional dalam syariah"

Saya tambah lagi contoh, kalau nak lantik Mufti, Qadhi syarie, Pensyarah Fiqh Islam/ Ilmu usuluddin/ Ilmu tasawwuf, Pakar Rujuk Syariee, .. perlu keahlian/ profesional dalam bidang Ilmu Syariyyah & ilmu2 dalam disiplinnya.

Kalau yang lain itu mengikut keperluan dan keutamaan. ... imam solat, ketua urusan jenazah, amil zakat, ketua urusan baitulmal, amirul jihad, gobernor Bahrain (Bilal bin Rabbah), Amir Syam, Amir Misyri, ...... Pilih mukmin yang terbaik walaupun bukan ulamak.

Dalam PAS sudah ada Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak yangkhusus untuk para ilmuan dan ahli dalam bidang ilmu syariah. Adapun yang lain dari itu adalah terbuka untuk semua ahli yang memiliki kualiti kepimpinan yang terbaik.

ATAU apakah jemaah Islam, khususnya PAS ini milik dan dihadkan kepada ulamak sajakah?

ATAU PAS anggap mereka bukan ulamak sebagai manusia kelas tiga dan "parasit" saja, tiada nilai disisi Allah?

Maksud AlQuran,Surat al-Hujarat, ayat 13: "Sesungguhnya yang lebih mulia disisi Allah antara kamu adalah yang belih bertaqwa".

Anonymous said...

copy yg org tulis punya --- hehehehe
==================
Sedara Abuzar yang di kasihi,,,
memimpin adalah kerja nabi2 , dan tak yah kita berdolak dalik lagi nak bagi jawatan tu kpd selain daripada pewaris mereka

Jemaah Islam adalah milik org Islam keseluruhannya, semuanya tiada istisna langsung , tp yg memmimpin org islam hanyalah Nabi Muhammad S.A.W , kalaulah agama nie boleh di cari ngan akal, dengan eksperimen , dengan tesis2 , perbahasan , tiada gunanya pengutusan Rasul2 rujuk surah An-nisa ayat64. dan pemimpin umat islam selepas Rasulullah adalah pewaris dia la ,,takkan org lain kot ,

sahabat sendiri pilih org2 yang paling rapat ngan rasullah utk pimpin mereka , yg menguasai syariat islam , dan amir2 imarah islamiah yg di sebut saudara adalah daripada kalangan sahabat2 yg tinggi ilmunya , dan utk pengetahuan saudara kebanyakan sahabat2 baginda adalah ulamak ( sehinggakan dalam ilmu usul fiqh ada di perbahaskan adakah pendapat sahabat tu hujjah ataupon tidak )

saya dengan hormatnya menegaskan dgn penuh yakin bahawa golongan ulamak adalah pemimpin , ketua negara , presiden , timbalan dan dan jawatan2 penting dalam jemaah islam.

adapun hujjah saudara , adanya badan2 penasihat seperti M.A , D.U , M.S , adalah mencukupi tidak dapat di terima kerana
1- tidak dapat di nafikan kuasa presiden dan naib presiden di dalam memutuskan sesuatu perkara
2- para sahabat memilih kalangan ulamak utk memimpin mereka, dan mereka adalah contoh terbaik utk di ikuti , tak yah buat eksperimen , tak yah ambik risiko , kita ikut ja cara org2 yg di pilih utk menjadi sahabat Manusia Agung lagi telah terjamin keredhoan Allah Ta'ala kepada mereka

saya sangat hairan la dengan manusia2 yg terlalu rasa diri layak utk jadi pemimpin nie , sedangkan memimpin nie adalah bebanan berat, kalau tidak ada nas2 quran serta hadis dan practical sahabat2 , rasanya ulamak2 lah org yg paling menyepi diri dari jawatan2 nie ,,,

saya tidak tahu apakah spec seorang pemimpin di mata saudara ? , tp yg saya tahu dari quran dan hadis serta perlakuan sahabat , pemimpin mestilah dari kalangan ulamak2 , biarpon kadang2 tindakan mereka(pemimpin dari kalangan ulamak) yg berdasarkan hujjah yg paling mantap ( quran hadis ijmaq dan kias ) mendapat tentangan daripada manusia yg berhujjah berdasarkan maslahah , akal pendek , dll,,,,

adapun ayat surah hujurat tu , saudara hanya baca ayat tu saja , saudara adalah kalangan yg x mengambil quran sepenuhnya ( bahasa kasar utk menyedarkan diri sendiri dan org2 lain )

cuba saudara gandingkan ayat 11 surah mujadalah dengan ayat surah hujurat tu serta hadis " sesiapa yg Allah nak bagi kebaikan dia akan memberi kefahaman Agama kepada dia, tentu sekali akan jadi camnie = ulamak yg bertakwa lebih baik dari yg bukan ulamak yg bertakwa ,
/ org beriman yg alim agamanya lebih baik dari org beriman yg tidak alim tentang agamanya . menda simple tak yah pusing2 , baca satu quran pastu paham elok2 ,

di sinilah letaknya kepentingan kita di pimpin oleh ulama , saudara sendiri telah silap dalam menilai / meletakkan kaedah besar di dalam menilai krn kurangnya rujukan saudara/ketidakmampuan saudara memahami Al-quran ( saya seorang profesianal tp tanya org alim - sebab tu saya yakin x silap sebab hujah dia semua quran hadis )

kalau seorang profesional tu nak jadi pemimpin jemaah islam , dia kena belajaq la ilmu syariah , bila dah jadi ulamak , insyaallah Allah akan akan darjat dia , jadi pemimpin di kampung , atau di daerah atau negeri atau negara dan kemungkinan seluruh dunia ,

sekali lagi di tegaskan PAS ADALAH JEMAAH ISLAM MILIK SEMUA ORG ISLAM YG DI PIMPIN OLEH ULAMAK dan ditolong oleh golongon2 pakar yg ikhlas, ( seronoknya boleh tolong pewaris nabi2 niee )

PARASIT pula ialah org2 yg cuba nak merosakkan hakikat yg dah lama bertapak di dalam hati2 pejuang islam dari dulu dan sekarang.

beruntunglah golongan profesional yg berkhidmat dengan ikhlas di bawah pimpinan ulamak , moga2 mereka mendapat balasan yg tidak terhingga di akhirat nanti .

Post a Comment